Danny X-Factor Tak Malu Bawa Grab, Pendapatan Cecah RM500 Sehari

Lama tak dengar cerita mengenai Danny X-Factor, pelakon dan penyanyi itu berkata dia lebih suka memandu Grab kerana pendapatan diterimanya lebih lumayan.

Memetik BH Online, Danny atau Mohd Kardanie Anwa berkata dia sudah lima tahun menjadi pemandu Grab dan pekerjaan itulah yang menyelamatkannya ketika pandemik.

“Saya buat semua kerja, saya memandu Grab, jual burger, minyak masak dan banyak lagi. Nak malu apa, asalkan saya cari rezeki halal dan tidak menipu orang.

“Sebenarnya, saya bekerja pemandu Grab sejak 2017. Inilah kerja yang menyelamatkan saya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Ketika PKP, isteri yang bekerja sebagai pramugari tidak ‘terbang’, jadi gaji pun tiada.

“Di situlah, kerja sebagai pemandu Grab banyak membantu saya. Kalau diikutkan, pendapatan pemandu Grab lebih lumayan daripada kerjaya seni. Pendapatan saya boleh cecah antara RM400 sehingga RM500 setiap hari,” katanya,

Dalam pada itu, Danny mengakui dia seronok menjadi pemandu Grab kerana pekerjaan tersebut menyenangkan hati, namun dia kini terpaksa berehat memandu Grab kerana sibuk berlakon. 

“Bila memandu Grab, saya bertenang dan dapat berjumpa rakan, berborak dan sebagainya. Saya memandu Grab selepas melihat rakan sekeliling buat pekerjaan sama dan akhirnya rasa seronok.

“Bayangkan, ketika penggambaran pun saya nak habis cepat sebab saya mahu memandu Grab. Namun, saya berehat sekejap daripada memandu Grab kerana sibuk dengan lakonan dan kerja lain dalam industri seni. Alhamdulillah,” katanya.

×