fbpx

Nana Mahazan Menangis Setiap Hari Tengok Muka Penuh Jerawat

Meskipun memasuki industri hiburan menerusi program realiti nyanyian Akademi Fantasia, pengacara Nana Mahazan tidak terkilan rezekinya tertulis dalam bidang pengacaraan.

Nana turut meluahkan rasa syukur kerana bidang pengacaraan membuatkan dia lebih yakin untuk terjun dalam dunia perniagaan produk kosmetik dan makanan jenamanya.

BACA: Nana Mahazan Syukur Rezeki Melimpah Ruah Selepas Berhijab

“Saya percaya sekalipun pintu dunia seni yang membuka jalan dan pintu rezeki, jaminan itu belum tentu selamanya. Jadi saya percaya apa yang tertulis membuka 1001 rahsia dan hikmah. Namun sesungguhnya, Allah sebaik baik perancang.

“Suara yang saya ada dan jaja selama ini biarpun tidak kepada fokus utama menjadi penyanyi atau pelakon, tapi digunakan untuk mengacara dan berceloteh. Tetap ada kaitan, dekat dengan diri atau timbal balik.

“Suka melawa dan bersolek itu perkara biasa. Itu juga antara sebab mengapa saya memilih dunia perniagaan kecantikan menerusi Nana Mahazan Beauty sejak 2018,” katanya.

Berkongsikan mengenai bagaimana dia memulakan perniagaan kecantikan, Nana berkata dia pernah berdepan masalah kulit yang teruk hingga hilang keyakinan diri.

Nana berkata dia kerap menangis setiap kali melihat wajahnya di cermin. Bagaimanapun, dia meluahkan rasa syukur suaminya sentiasa memberi semangat.

“Saya sendiri tahu bagaimana diselubungi perasaan sedih kerana tiada keyakinan diri. Saya boleh faham fasal pergelutan mereka yang diburu keresahan sebab kulit wajah teruk.

“Ironinya saya melalui fasa itu pada tahun 2017. Saya alami masalah kulit atau timbul jerawat dan bintik merah kerana pori tersumbat dek pelbagai masalah melanda.

“Suami saya sendiri menjadi saksi paling dekat melihat saya ada dalam keadaan itu. Masa itu, saya akan tengok cermin sambil menangis setiap hari. Suami juga yang selalu suntik semangat tanpa gagal untuk saya cuba tip atau produk itu dan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nana berkata lebih setahun dia mencuba pelbagai jenis produk kulit. Ujarnya, dia membuat keputusan untuk memasarkan jenama produk penjagaan kulit sendiri pada 2020 selepas ramai melihat perubahan wajahnya.