fbpx

Dah Menang Anugerah, PU Riz Tak Akan Tolak Tawaran Berlakon

Menang Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bersama Wanna Ali menerusi filem Ada Apa Dengan Dosa, pendakwah bebas PU Riz berkata ia tidak sama sekali menjadi penamat dalam kerjaya lakonannya.

Pengakuan PU Riz itu sekaligus menepis khabar angin mengatakannya sudah tidak mahu terbabit dengan dunia persada seni selepas mendirikan rumah tangga dengan selebriti popular, Neelofa.

BACA: PU Riz Jadi Cikgu Sementara Sekolah Menengah

“Tiada istilah permulaan atau penamat dalam dunia seni. Jika ada rezeki, saya tidak akan menolak untuk berlakon. Tetapi, tentu pilihan saya kisah dakwah dan konsep Islamik. Kenapa saya mahu menolak jika kena pada waktu. Saya boleh sahaja mempertimbangkan tawaran jika ada watak yang sesuai.

“Saya tidak terfikir mahu menghilangkan diri terus, masih akan ada dalam radar seni. Cuma, sekarang saya memang banyak kerja dan memikul tanggungjawab termasuk bertugas sebagai guru sementara serta perniagaan,” katanya.

Meluahkan rasa syukur dengan kemenangan tersebut, PU Riz berkata kemenangan itu akan menjadi pembakar semangat kepadanya.

“Apapun, saya mahu mengucapkan terima kasih penganjur, BH dan ABPBH 34 atas pengiktirafan ini, biarpun ada calon yang lagi hebat. Saya anggap ini sebagai rezeki dan pembakar semangat,” katanya.

Ditanya sama ada terbuka untuk berlakon bersama isteri, PU Riz berkata dia tiada masalah malah mengakui ianya lebih senang.

“Saya tiada masalah berlakon bersama isteri. Bagaimanapun, ia atas persetujuan Neelofa, jadi kena tanya kepadanya sendiri.

“Bagi saya berlakon bersama isteri mungkin lebih senang. Cuma, tidak mahu ada babak mesra berlebih-lebihan. Sekadar apa adanya, saya boleh mempertimbangkan,” katanya.