fbpx

“Dulu Solat Saya Lompong, Sibuk Kerja Sampai Lupa Saham Akhirat”

Pelawak Azlee Senario mengakui dia pernah alpa dan tidak menitikberatkan mengenai soal agama apabila terlalu mementingkan hal dunia.

Bagaimanapun, Azlee berkata dia kini mendalami agama dan memantapkan lagi iman. Ujarnya, pandemik Covid-19 yang berlaku ini adalah peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah.

BACA: “Lan Pet Pet Nampak Macam Gangster Tapi Dia Insan Baik”

“Apabila terlalu sibuk bekerja kadangkala kita terlupa untuk mengejar saham akhirat. Selama ini saya bukan tak pernah solat, tapi ada waktunya solat saya ‘lompong’. Sepatutnya sebagai umat Islam kita wajib menunaikan solat fardu lima waktu sehari.

“Selepas menimba ilmu agama dengan seorang pendakwah, Alhamdulillah saya dapat menyempurnakan solat fardu saya selain mengadakan bacaan taklim bersama isteri dan anak-anak. Saya ingin menjadi makhluk yang terbaik di sisi Allah.

“Saya percaya pandemik Covid-19 yang berlaku memberi satu rahmat kepada kita semua. Mungkin selama ini kita lalai dan leka menyebabkan Allah marah. Jadi saya ambil peluang ini untuk dekatkan diri dengan Maha Pencipta,” katanya.

Berpeluang mengikuti kerja-kerja amal serta menyebarkan kebaikan agama Islam, Azlee berkata perkara tersebut memberikan ketenangan kepada dirinya.

“Insya-Allah esok sudah kali ketiga saya mengikuti kerja-kerja amal. Setiap kali keluar melakukan aktiviti ini, saya akan habiskan masa selama tiga hari di luar.

“Berpeluang bertemu dengan orang bukan beragama Islam dan menyebarkan kebaikan agama Islam kepada mereka sememangnya satu pengalaman yang cukup berharga,” katanya.