fbpx

Shuk Sahar Jual Kuetiau & Air Untuk Teruskan Hidup

Kontroversi kecurangannya sudah dua bulan berlalu, pelawak sensasi Shuk Sahar mengakui apa yang terjadi mematangkan dirinya untuk menjadi seorang suami serta ayah yang lebih bertanggungjawab.

Meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas diri sendiri sehingga memusnahkan karier dan hilang pekerjaan, namun Shuk tetap bersyukur kerana keluarganya masih ada disisi.

BACA: Gerai Minuman Diserang, Shuk Disindir Tiada Kerja

“Saya tahu tentang kelemahan diri sendiri. Saya tidak kata apa yang telah saya lakukan itu tidak salah. Sebab kalau tidak salah, perkara seperti ini tidak akan berlaku.

“Jadi sebab saya sedar kesalahan yang telah saya lakukan, maka saya terima kesalahan tersebut dan mencari jalan untuk pulihkan semula perkara yang sudah berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shuk tidak menyalahkan isterinya yang membuka mulut serta mendedahkan aib rumah tangga kepada umum.

“Memang ada netizen kata, kalau Sera tidak buka mulut, masyarakat tidak akan tahu dan saya tidak akan ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio.

“Tetapi saya beranggapan dia (isteri) lakukan itu (memuat naik hantaran) bagi memperbetulkan keadaan. Saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak dan ambil semuanya sebagai kesalahan saya sendiri,” katanya.

Kontraknya sebagai penyampai radio ditamatkan pada 18 Februari lalu, Shuk terus bangkit dan kini menjalankan perniagaan menjual kuetiau dan air untuk meneruskan kehidupan.

“Alhamdulillah, saya kini menjalankan perniagaan menjual kuetiau, yang diberi nama Keowteow Sup Papa Shuk di Denai Alam serta perniagaan minuman di Wangsa Maju.

“Sebelum ini saya langsung tak pernah terfikir untuk buat bisnes. Saya menyesal juga sebab kalau daripada dahulu saya ada perniagaan, sekurang-kurangnya sudah ada jaminan.

“Tetapi saya percaya setiap ketentuan yang Allah SWT dah rancang pasti ada sesuatu untuk saya,” katanya.