Anggota kumpulan nasyid Rabbani iaitu Rahmat atau nama sebenarnya Ahmad Shafie berkongsi berita sedih mengenai isterinya, Norazlina A Rahman yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Menurut Rahmat, isterinya Norazlina, 49 yang meninggal dunia pagi tadi sebelum ini dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas pada Rabu lalu.
“Isteri saya meninggal dunia pada jam 5.25 pagi tadi di Hospital Selayang. Punca kematian adalah akibat Covid-19. Pada masa sama, isteri saya juga menghidap masalah buah pinggang dan darah tinggi,” katanya.
Rahmat berkata dia juga sebelum ini disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin di rumah.
“Saya disahkan positif selepas menjalani ujian calitan (swab) pada 11 Januari. Tapi, kuarantin di rumah bersama isteri dan empat anak kami.
“Setakat ini, anak-anak saya masih lagi negatif dan mereka juga tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya.
Pada Mac lalu, Allahyarham Norazlina dilaporkan mengalami kelumpuhan separuh anggota badan selepas jatuh di bilik air.
Allahyarham meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Nur Aliah Natasha, 22, Mohd Arif Iskandar, 21, Mohd Arif Haikal, 19 dan Mohd Risqy, 12.