fbpx

Sugu Pavithra Tak Mahu Lagi Ada Kaitan Dengan YouTube

Selepas kes didakwa mencederakan isterinya selesai, nama pasangan YouTuber masakan popular, Sugu Pavithra sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila tiada lagi video di saluran milik mereka dan kemungkinan telah dipadamkan.

Perkara itu sekaligus mengejutkan netizen dan para peminatnya yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku sehingga tiada lagi kandungan video di saluran YouTube mereka.

BACA: Sugu Pavithra Padam Semua Video Di YouTube

Tampil menjawab mengenai perkara itu, M Sugu dan S Pavithra berkata semua video yang dimuat naik telah dipadam kerana mereka membuat keputusan untuk tidak lagi mempunyai kaitan dengan laman media sosial, Youtube.

Sugu Pavithra berkata mereka tidak mahu lagi terbabit dengan apa sahaja yang boleh meraih perhatian umum. Pasangan itu berkata mereka hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Kami tidak mahu lagi ada kena-mengena dengan Youtube. Ramai lagi Youtuber masakan yang lagi hebat dan bagus, kami hanya mahu memberi tumpuan kepada keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Sugu berkata buat masa ini mereka berdua masih belum memikirkan apa perancangan seterusnya yang mahu dilakukan.

Sepanjang tempoh mengendalikan saluran itu, pasangan Sugu dan Pavitra berkongsi 98 video hingga meraih lebih 34 juta tontonan. Setakat ini mereka mempunyai sebanyak 787,000 pengikut di laman YouTube.