fbpx

Amy Search Umum Undur Diri Dari Kumpulan Search

Selepas hampir 39 tahun bersama, penyanyi rock legenda Amy mengejutkan industri seni tanah apabila apabila membuat pengumuman bahawa dia secara rasminya telah mengundurkan diri sebagai vokalis kumpulan Search.

Menurut Amy, keputusan itu dibuat adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang kepada anggota Search yang lain untuk mengorak langkah mereka masing-masing tanpa perlu bergantung atau tersekat kerana dirinya.

BACA: Amy Search Bengang Nabila Huda Masih Bekerja

Jelas Amy lagi, usianya kini sudah menganjak 62 tahun dan tidak lagi memiliki kualiti vokal yang sama seperti ketika berusia 26 tahun.

“Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan untuk mengundurkan diri sebagai vokalis Search. Dengan pengumuman ini saya berharap agar saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada.

“Hal itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup.

“Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup,” katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Amy menjelaskan dia bukan bersara dari industri seni tetapi tidak lagi menjadi vokalis kumpulan rock tersebut. Namun, Amy berkata dia akan terus menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini.

“Sudah pasti saya akan tetap menyanyikan lagu-lagu Search selepas bergerak solo nanti. Saya bukan bersara ya. Saya hanya rasmi tidak lagi menjadi vokalis Search dan meneruskan karier solo mengikut usia saya,” katanya.

Terdahulu, timbul spekulasi Amy ingin meninggalkan Search apabila bapa kepada pelakon Nabila Huda itu menuliskan dirinya sebagai bekas vokalis Search di salah satu gambar di akun Instagramnya, @akuamysearch.