Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bukit Baru Melaka, semalam.
Dalam kejadian 11.45 pagi, Yusof Al-Baihakki Zainal Abidin dikatakan dibawa ke unit kecemasan Hospital Melaka oleh pihak taska dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian.
Menurut Berita Harian, bapa bayi berkenaan, Zainal Abidin Deraman, 34, berkata, keadaan anak bongsunya yang di nanti-nantikan selama tujuh tahun berada dalam keadaan sihat ketika dihantar ke taska tersebut pada jam 7.30.
“Walaupun masih terkejut, saya redha dengan pemergiannya, kami menantinya kira-kira tujuh tahun selepas anak pertama, tetapi hari ini saya dan isteri berdepan tragedi ini,” katanya.
Zainal Abidin yang juga seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata, anak bongsuya baru enam hari di taska terbabit selepas isterinya Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai seorang guru.
“Selepas kembali bertugas, anak dijaga selama dua minggu oleh ibu mentua dan pada minggu lalu, baru kami menghantarnya ke TASKA.
“Tidak sangka kejadian ini akan terjadi kepada saya” katanya semasa di Unit Forensik Hospital Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Melaka mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari dan bayi berkenaan disahkan meninggal dunia.