fbpx

6 Tahun Menjanda, Oktovia Manrose Selamat Bernikah Dengan Bekas Pemain Bola

Selepas enam tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Oktovia Manrose selamat diijabkabulkan dengan bekas pemain bola sepak Felda United, Mohamad Khairul Efsan Mdisa malam tadi.

Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, dinikahkan oleh bapanya, Iwan Dangdut dalam satu majlis di Magica Quill City Mall, Kuala Lumpur kira-kira 9.30 malam.

BACA: Iwan Selalu Tarbiah Aprena & Oktovia, Syukur Sekarang Dah Berhijab

Cantik dan anggun mengenakan busana putih pada majlis pernikahan, Oktovia menerima mas kahwin sebanyak RM80 dengan sebentuk cincin berlian dan hantaran lima dulang berbalas tiga kepada pihak lelaki, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Terdahulu, Oktovia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izat Abd Rahman pada 23 Februari 2011 namun bercerai pada 2015. Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain kini berusia 10 tahun.

Oktovia merupakan anak kedua daripada tiga beradik, hasil perkongsian hidup penyanyi dangdut, Iwan Syahman dan pelakon Allahyarham Rosnah Mohd. Noor.