fbpx

Sah bergelar isteri kepada lelaki pilihan hati yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Isa semalam, penyanyi Mas Idayu tidak dapat menahan tangisannya.

Memetik mStar Online, Mas Idayu berkata dia tidak menyangka kini bergelar isteri dan sudah mempunyai teman hidup selepas 17 tahun hidup bersendirian.

BACA: Mas Idayu Sah Bergelar Isteri Sufian Isa

“Alhamdulillah, 17 tahun saya hidup bersendirian, sekarang saya sudah mempunyai teman hidup. Itu membuatkan saya rasa sebak dan mengalirkan air mata,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 50 tahun itu lagi, dia tergerak hari untuk mencari teman hidup dua tahun lalu dan mendedahkan ramai lelaki cuba mendekati sehingga akhirnya bertemu dengan suaminya.

“Sebelum ini saya memang tidak percaya dengan mana-mana lelaki tetapi dua tahun kebelakangan ini saya mula rasa sunyi dan ingin seorang teman.

“Setiap hari saya berdoa agar dan pada ketika itu ada beberapa lelaki mula ‘masuk’ cuma saya tidak tahu untuk memilih mana sesuai. Sehinggalah datang orang yang saya suka (Sufian) dan saya rasa Sufian pilihan paling tepat,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Idayu berkata dia tertarik hati dengan sikap suaminya yang disifatkan seorang yang kelakar dan membuatkannya ketawa.

“Mula-mula dulu, Sufian nampak seperti orang yang sombong dan ketika itu saya tertanya-tanya siapa dia sebenarnya. Namun selepas mengenalinya, saya suka karakternya yang kelakar dan apa sahaja dia lakukan pasti akan membuatkan saya ketawa,” katanya.