fbpx

Unfriended: Kisah Seram Remaja Di Zaman Teknologi Siber Hari Ini

UNFRIENDED (2015) ialah sebuah filem seram yang simple persembahannya tetapi seronok untuk ditonton. Ia seumpama kita sebagai anonymous yang senyap-senyap membaca paparan video dan mesej mengenai ‘orang bergaduh’ di media sosial! Sambil kita mengunyah bertih jagung dan minum air berkarbonat menikmati dramanya.

Filem ini secara ringkasnya mengisahkan sekumpulan sahabat karib atau BFF yang berkomunikasi melalui aplikasi Skype, iMessage dan Facebook serta panggilan telefon, setahun selepas kematian salah seorang kawan mereka bernama Laura Barns (Heather Sossaman).

Kini mereka dihantui oleh seorang pengguna Skype misteri bergelar ‘billie227’ yang mahu tahu siapakah empunya angkara yang telah merakam dan memuat-naik video yang amat memalukan Laura Barns dahulu ke laman Youtube sehingga memaksa dia membunuh diri kerana tekanan mental oleh pembuli-pembuli siber.

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

U4

Secara peribadi, saya memberikan pujian kepada produksi filem ini yang menggunakan sepenuhnya strategi pemasaran melalui internet semenjak kali pertama trailer-nya dimuat-naik di laman Vimeo dengan judul asal Cybernatural. Trailer rasmi dengan judul yang baru iaitu Unfriended telah dimuat-naik melalui laman Youtube milik MTV pada 12 Januari 2015 pula telah merebakkan lagi kewujudan filem setelah disebarkan secara meluas sukarela oleh para pengguna media sosial. Semenjak itu, filem ini hanya menunggu tarikh tayangan umum untuk ditonton oleh para peminat filem seram sebegini di seluruh dunia dan dengan yakinnya akan meletup di pasaran. Pandai!

Cara persembahannya nampak sangat berbajet murah tanpa memerlukan penggambaran di lokasi yang banyak. Cukup sekadar memuatkan lokasi bilik para pelakon di hadapan skrin komputer riba masing-masing. Kekuatan utama pembikinan filem ini ialah teknik suntingan yang memaparkan semua penceritaan di skrin komputer atau screencast berjenama Apple milik salah seorang watak iaitu Blaire Lily (Shelley Hennig). Kualiti video dan audio yang hebat bukan keutamaan filem ini. Muzik latar soundtrack hanya dari koleksi iTunes milik Blaire, manakala bunyi-bunyian lain cuma bila Blaire menaip di keyboard serta notification iMessage dan Facebook Messenger atau aplikasi pop-up lain yang muncul di sana-sini skrin komputer (wayang). Keseronokannya ialah penceritaan yang bergerak pantas secara linear dalam durasi selama 1 jam 23 minit itu sahaja.

U6

Penonton akan memahami perjalanan dan pengembangan naratifnya melalui setiap kali Blaire menaip sesuatu perihal atau bercakap di telefon atau bersembang di Skype semasa berkomunikasi dengan kawan-kawannya. Bila difikirkan semula, penceritaan filem ini secara tanpa sedar lebih diikuti melalui pembacaan setiap mesej yang ditaip dan isi perbualan beremosi di antara watak-watak, berbanding menonton filem yang penuh aksi lakonan dan paparan babak demi babak di lokasi-lokasi yang bertukar-tukar. Kalau filem ini ditonton melalui paparan skrin laptop atau telefon bimbit yang kecil pun, ia masih menghiburkan, agaknyalah.

Filem ini juga mampu mengujakan sesiapa yang menonton kali pertama untuk menontonnya sekali lagi bagi meneliti semula apa yang terlepas pandang semasa tayangannya. Ia dek kerana kadangkala ada sesetengah paparan babak yang dipenuhi dengan berbagai skrin kecil video dan kotak mesej secara serentak yang berkait dengan penceritaannya.

Sudut pandang penonton sangat terhad seolah-olah berkongsi mata dan telinga dengan watak Blaire sahaja menjadikan ia suatu pengalaman tontonan yang mendebarkan, terutamanya apabila skrin laptop Blaire sendiri mengalami glitch atau gangguan isyarat khidmat servis internet. Elemen seram akan terasa lebih seram semasa penonton dan Blaire kehilangan informasi secara off-screen yang berlaku kepada kawan-kawannya.

U7

Pengisian dan ciri-ciri filem Unfriended agak seiras seperti filem Twelve Angry Men (1957 & 1997) yang berkisar hanya dalam sebuah bilik, dimana dalam filem ini ia bercerita hanya dalam Group Video Chat laman Skype. Unfriended juga bermain dengan persoalan misteri ‘whodunit’ seperti filem seram slasher Scream (1996) dan I Know What You Did Last Summer (1997) untuk merungkai sebab utama kematian Laura yang sebenarnya?

Dari sudut isi kandung, Unfriended menyorot sisi gelap yang diakibatkan dari penyebaran aib seseorang ke laman media sosial dan internet. Dalam filem ini ialah rakaman video Laura Barns yang terlalu mabuk sehingga melakukan sesuatu yang sangat memalukannya sehingga dia membunuh diri. Walaupun ia hanyalah berpunca dari sebuah paparan pendek video di Youtube, ia merebak ke Facebook dan laman media sosial lain. Laura menjadi bahan jenaka dan mangsa pembulian siber yang dahsyat! Sememangnya situasi sebegitu juga sedang berlaku secara realiti. Filem ini mendekati impak kemudaratan yang teruk kepada Laura dan memfiksyenkan seandainya si-mangsa membalas dendam dalam bentuk yang mistik. Ia juga menyelami maksud tali persahabatan atau kawan-makan-kawan yang sebenar.

U3

Filem di lokasi statik dalam paparan skrin komputer yang terhad sebegini, tidak terlalu menyerlahkan bakat para pelakonnya yang juga terhad hanya dalam kotak-kotak video yang kecil dan berkongsi secara serentak. Mereka hanya perlu bersembang secara beremosi sahaja. Setiap perwatakannya masih memenuhi idenditi berbagai watak filem seram seperti watak gadis-gadis bimbo, gadis nampak pandai tetapi seksi, jejaka tampan, remaja nerd dan genius perisian komputer, gentleman dan seorang penjahat misteri. Itu yang penting! Unfriended wajar dipuji usaha produksinya yang memberi kelainan bentuk persembahan filem yang diarahkan oleh Levan Gabriadze kelahiran dari Rusia.

KESIMPULAN

U1

Unfriended mungkin bukan untuk penonton yang menagih tontonan aksi kejar-mengejar kereta atau superhero. Ia sebuah filem yang akan digemari oleh peminat tegar filem-filem seram yang mahu berhibur dari keseraman yang berteknologi. Filem ini kecil tetapi mempunyai idea persembahan yang besar. Saya sukakannya dan OK untuk berikan 4 BIJI ROTIKAYA.