fbpx

Tiket Penerbangan Tersebar, Hanez Suraya Saman MAS

Pelakon kontroversi, Hanez Suraya Abdul Aziz dan kekasihnya, Romie Razin Aidilha Abd Jais memfailkan saman terhadap Malaysia Airlines System (MAS) hari ini atas dakwaan mendedahkan tiket penerbangan mereka ke Bangkok, Thailand di laman sosial, April lalu.

BlvIRg4CUAA9Ntj

Saman tersebut difailkan menerusi Tetuan Harjit Sandhu menerusi kaedah e-filling di pejabat Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor.

Hanez dan Romie dalam pernyataan tuntutan mendakwa mereka menggunakan perkhidmatan MAS ke Bangkok dan berlepas daripada pintu G8, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat MH0788.

Sebelum menaiki pesawat berkenaan, mereka mendakwa menyerahkan tiket penerbangan kepada tiga petugas di pintu tersebut.

Selepas beberapa jam mendarat di Bangkok, mereka turut mendakwa telah dimaklumkan keratan tiket penerbangan tersebut telah dimuat naik ke dalam akaun Facebook “Kami Sokong Liyana Manan” dan mendapati lebih 1,000 komen negatif berbaur cemuhan serta cacian.

Mereka mendakwa tindakan defendan mendedahkan tiket penerbangan tersebut ke laman sosial adalah tidak beretika dan melanggar Akta Pelindungan Data Peribadi (APDP) 2010.