fbpx

Tahun lepas, sebuah filem aksi ganas seram berasaskan penceritaan house arrest atau ‘kurungan’ telah dibikin yang berjudul The Purge (2013) dengan hanya kos produksi yang kecil iaitu US$3 juta. Filem itu telah berjaya mengaut keuntungan lebih US$89 juta. Walaupun mendapat kritikan agak negatif, namun ia terbukti sebagai sebuah filem bertih jagung yang sangat digemari.

Maka sudah tentulah penerbitnya akan membikin filem sekuel/prekuel untuk menyamai status francais seperti siri filem Scream (1996) atau Saw (2004) yang sudah berantaian difilemkan tahun demi tahun untuk memenuhi selera penggemar filem sebegini.

The Purge: Anarchy (2014) ialah filem sekuel yang berlaku setahun selepas cerita dalam filem The Purge. Ia mengisahkan 5 orang awam yang berjuang hidup/mati semasa berkuat kuasa aktiviti tahunan ‘Purge’ pada setiap tarikh 21 Mac jam 7 petang sehingga 22 Mac jam 7 pagi.

TPA1

Untuk pengetahuan kepada penonton yang belum menonton filem pertama, maksud ‘Purge’ ialah di dalam jangka masa 12 jam tersebut, semua kegiatan jenayah oleh orang awam termasuklah perlakuan membunuh orang lain dengan niat atau tanpa niat adalah dibenarkan tanpa perlu dihukum. Dimana semua jabatan keselamatan iaitu polis dan bomba, serta jabatan kecemasan iaitu hospital atau pusat krisis lain akan ditutup.

Dalam erti kata lain “lantaklah korang nak buat apa, buatlah sesuka hati korang!”

Kononnya kejayaan acara berbunuhan semasa ‘Purge’ semakin berkesan menurunkan bilangan penganguran sehingga kurang 5% sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan untuk meningkatkan lagi kekayaan ekonomi negara Amerika. Bagaimana caranya dan apakah kesannya? Anda kena saksikan sendiri di pawagam sekarang!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri.

TPA8

Yang nyata kali ini, The Purge: Anarchy dibesarkan lokasinya berbanding filem terdahulu, The Purge (2013) yang hanya mengutamakan kisah sebuah keluarga serta cuma berkisar dalam sebuah rumah bersituasi klaustrofobia. Manakala kali ini, ia menceritakan apa yang berlaku kepada sekelompok watak yang di sekitar sebuah pekan kecil terpencil di Los Angeles di tahun 2023.

Di awal-awal penceritaan tiada apa-apa yang berlaku hampir 20 minit yang pertama. Filem ini hanya memperkenalkan watak-watak yang berasingan dalam 3 buah jalur cerita masing-masing. Eva Sanchez (Carmen Ejogo) seorang pelayan di sebuah restoran dan anaknya, Cali Sanchez (Zoë Soul) mewakili golongan bangsa kulit hitam yang berpendapatan rendah. Sepasang bangsa kulit putih pula iaitu Shane (Zach Gilford) dan Liz (Kiele Sanchez) sedang bergegas pulang ke rumah tetapi singgah sebentar di pekan kecil itu untuk membeli barang makanan. Manakala Sergeant Leo Barnes (Frank Grillo) sedang bersiap-siap mengemas kelengkapan berbagai senjata api.

Kesemuanya dipertembungkan dan bergabung sebagai tunjang ceria dek kerana beberapa insiden yang tidak diduga lantas membuakkan penceritaan seterusnya iaitu apabila ‘Purge’ bermula! Berjayakah mereka melalui semalaman 12 jam yang mengancam nyawa umpama ‘telur di hujung tanduk’? Itulah persoalan dan kronologi babak-babak cemas dan merbahaya yang menjadi nilai ‘hiburan’ yang dijual oleh pengarahnya, James DeMonaco.

Film Review The Purge Anarchy

Saya akui bahawa tarikan utama The Purge: Anarchy bergantung sepenuhnya kepada momen demi momen pembunuhan yang berlaku di sepanjang penceritaanya. Ada ketikanya penonton juga seakan ‘menghalalkan’ siapa yang dibunuh kerana latar kejahatan mereka. Tetapi ada juga yang kita rasa kasihan kerana mangsa-mangsa yang dimatikan secara kejam kerana kelemahan atau berada di tempat yang salah.

Filem ini cuba membuat andaian apabila orang-orang kaya atau kerajaan menyalahgunakan kebebasan ‘Purge’ untuk kepentingan mereka. Orang awam yang lemah atau miskin diperalatkan seperti binatang buruan dalam permaian ala Paintball. Manakala pihak atasan yang mahukan kejayaan ‘Purge’ lebih besar berbanding tahun sebelumnya, menggunakan unit-unit khas ketenteraan untuk menghapuskan rakyat yang dianggap sebagai beban perbelanjaan kerajaan.

Disamping itu, ‘Purge’ juga dimanipulasikan sebagai malam untuk berdagang tubuh dan nyawa manusia lain, demi wang. Ada kumpulan yang ‘menangguk di air keruh’ seolah menangkap haiwan untuk dijual di pasaran gelap kepada para jutawan. Ada juga yang melampiaskan kebencian dan dendam kesumat dengan membunuh sesiapa sahaja yang disimpan dalam hati selama setahun!

TPA2

Filem ini tidaklah sehebat maksud tersirat manusia berbunuhan kerana perbezaan kasta-kasta seperti filem Snowpiercer (2013), tetapi hanya sekadar mengambil asasnya dengan mengangkat babak-babak keganasan sebagai sebuah filem aksi thriller. Filem ini bukan untuk rujukan kritikan sosial dan politik yang padu, cuma hiburan berklasifikasi: untuk tontonan 18 tahun ke atas.

Dari sudut pembikinan, filem ini memanglah berbajet rendah kerana para pelakonnya tidak perlu menukar banyak kostum kerana penceritaannya berlaku dalam jangka masa 12 jam, malam yang sama. Namun begitu, penggambaran filem yang sebahagian besarnya berlaku di waktu malam sahaja memanglah agak sukar.

Kualiti persembahan para pelakonnya tiadalah apa sangat nak diperkatakan. Hanya Frank Grillo sebagai Leo dan Zoë Soul sebagai Cali Sanchez yang nampak meyakinkan kerana perwatakan mereka yang lebih emosi dan benar-benar menarik untuk ditonton. Yang lain-lain bolehlah, boleh.

TPA10

KESIMPULAN

The Purge: Anarchy (2014) ialah sebuah filem murahan yang nampak ‘mahal’ kerana idea asasnya tentang jenayah dan pembunuhan yang ‘halal’ kerana penguatkuasaan aktiviti tahunan ‘Purge’ yang gila! Tontonlah untuk hiburan kengerian serta akui betapa merepeknya seandai manusia yang berkuasa membuat undang-undang yang semakin kurang siuman.

Walaupun mungkin di dunia luar panggung wayang, ia ada berlaku juga dalam bentuk yang berbeza? Kita tunggu prekuel filem ini ya! Saya berikan 3 BIJI ROTIKAYA.