fbpx

Reviu: A Good Day To Die Hard

A Good Day To Die Hard (2013) ialah sebuah filem aksi arahan John Moore yang terkenal dengan filem Behind Enemy Lines (2001) dan Max Payne (2008). Filem ini ialah sekuel ke-5 dari siri filem Die Hard melalui watak anggota polis John McClane yang sinonim sebagai ‘hero kental’ lakonan Bruce Willis. Kalau penceritaan filem-filem Die Hard sebelum ini berlaku di Amerika, kali ini sebahagian besarnya beraksi di Rusia.

Cerita bermula dengan memperkenalkan watak Yuri Komarov (Sebastian Koch) seorang banduan tahanan politik yang akan dibicarakan atas jenayah berkaitan Tragedi Chernobyl.

Di mahkamah, Komarov akan membongkar kononnya senarai nama orang kenamaan yang terbabit dengan jenayah itu yang disimpan secara rahsia di suatu tempat di Rusia. Sementara itu, Chagarin (Sergei Kolesnikov) seorang pegawai tinggi kerajaan cuba mendapatkan senarai itu dari Komarov dengan cara halus atau paksaan.

Reviu Filem Minggu Ini - A Good Day To Die Hard - ROTIKAYA

Waktu yang sama, John “Jack” McClane, Jr (Jai Courtney) iaitu anak sulung John McClane yang sedang dalam misi melarikan Komarov untuk dibawa ke Amerika bagi mendapatkan senarai itu juga. John pergi ke Rusia hanya hendak mencari Jack yang dilaporkan ‘hilang’ tanpa mengetahui bahawa anaknya itu ialah seorang Ejen CIA rupanya. Apakah yang berlaku seterusnya, anda saksikan sendiri di pawagam tempatan sekarang!

Filem ini secara luarannya memang sebuah filem aksi yang cukup rempah-ratusnya. Setiap plot asas sebuah filem berelemenkan ejen perisikan rahsia Amerika di negara orang, ada di dalamnya. Aksi kejar-mengejar kenderaan memang meletup di tengah-tengah kesibukan bandaraya Moscow sudah tentu sangat mengujakan. Begitu juga sekuen-sekuen aksi pertempuran senjata api tanpa henti di sepanjang naratif filem ini, amat hebat. Dalam ertikata lain, ia memberikan apa yang sewajarnya untuk sebuah filem yang tak perlu difikir panjang, anda tentu seronok dengan visual-visual merbahaya.

#05 Reviu Filem Minggu Ini - A Good Day To Die Hard - ROTIKAYANamun begitu kepada peminat tegar filem-filem Die Hard sebelum ini, akan sedikit kecewa. Filem ini seolah kehilangan identiti perwatakan John McClane yang semakin tumpul taringnya. Kali ini, misi utama yang menggerakkan filem ini ialah kepunyaan anaknya, Jack. McClane hanya seperti ‘sidekick’ sahaja membantu supaya Jack berjaya menyelamatkan dan melarikan Komarov dari kumpulan penjenayah upahan oleh Chagarin.

Di samping itu, jalan ceritanya juga seakan boleh dijangka semacam hanya beracuankan filem-filem perisikan ejen CIA yang tipikal. Jack menjadi hero yang lebih penting dalam filem ini.Walaupun inilah kali pertama McClane beraksi di luar Amerika menentang pengganas, namun ia tidak memberi impak apa-apa sangat dari segi kepakaran mental seperti filem-filem yang terdahulu.

McClane lebih kepada berwatak ‘pengikut’ daripada ‘pengendali’ misi. Mungkin kerana faktor usia, Bruce Willis tidak sehebat McClane yang muda. Barangkali juga filem ini ialah pentas permulaan untuk francais sekuel-sekuel filem Die Hard seterusnya yang disambung legasi oleh anaknya, Jack McClane lakonan Jai Courtney?

#06 Reviu Filem Minggu Ini - A Good Day To Die Hard - ROTIKAYAPenukaran lokasi dari Amerika ke Rusia juga mengurangkan penjenamaan Die Hard yang sepatutnya dilihat sebagai sebuah filem kepolisan berpasukan di negara mereka yang biasa kepada watak John McClane. Sekuel-sekuel sebelum ini menjadikan Los Angeles, Washington D.C. , New York dan sekitar Amerika sebagai pentasnya. Manakala filem kali ini menjadikan sekeliling bandar Moscow dan pendalaman Chernobyl sebagai lokasi yang seakan asing kepada John dan penonton tegarnya.

Dari sudut lakonan, Jai Courtney sebagai Jack hanya menekap sahaja kekentalan fizikal dan kedegilan perangai ayahnya, John. Beberapa babak ‘rehat’ filem ini cuba memberikan sedikit drama kekeluargaan ayah-anak yang janggal. Watak antagonis pula melalui Komarov dan konco-konco Chagarin tidak sehebat penjahat-penjahat dalam filem terdahulu.

Kali ini kumpulan pengganasnya hanya kelihatan kuat dari segi kelengkapan senjata api dan helikopter ketenteraan yang moden dan terkini. Malahan ‘plot twist’ di penghujung cerita juga agak klise dan boleh dijangka.

Kelemahan filem ini mungkin boleh dicampak kepada penulis skrip, Skip Woods dan pengarahnya, John Moore yang telah ‘membuang’ banyak ciri-ciri filem Die Hard 1 hingga 4. Namun begitu, seandainya anda mahupun filem aksi yang ‘mindless’ maka inilah pilihan tontonan yang tepat!

Kesimpulan: A Good Day To Die (2013) ialah filem bertih jagung komersial yang memancing dan menjual Bruce Willis sebagai umpan yang masih laku. Walaupun John McClane sudah semakin tua, namun ia masih sebuah filem yang bising, bingit dan pantas! Dengan itu saya berikan hanya 3 ROTIKAYA.