fbpx

Penerbit: Henti Kecam Peserta Clever Girl

Selepas terpalit pelbagai kontroversi, penerbit Clever Girl Malaysia tampil meminta orang ramai berhenti mengecam peserta rancangan tersebut yang dikatakan kurang bijak menjawab soalan yang diajukan.

BACA: Mawar Rashid Akui Patah Semangat Kerana Kontroversi Tidak Tahu GST

“Peserta yang dipilih mempunyai tahap IQ sangat tinggi, namun dek rasa gemuruh ketika berdepan ujian yang diberi, ia membuatkan sesetengahnya gugup”

“Sebagai penerbit yang mengendalikan program baharu, segala kritikan diterima dengan hati yang terbuka. Cuma janganlah mengecam peserta secara berlebih-lebihan. Mereka sangat bijak sebenarnya, cuma kerana gugup, jawapan betul yang patut diberikan menjadi salah pula”

“Mengatasi sifat gemuruh juga antara ujian buat mereka kerana ia mampu memberikan fokus yang penuh dalam melunaskan tugasan diberi,” jelasnya kepada BH Online.

Clever Girl Malaysia merupakan sebuah program realiti TV terbaru yang menampilkan 14 gadis terpintar dari setiap negeri di Malaysia yang bertanding bagi merebut hadiah wang tunai sebanyak RM100,000.

Namun rancangan berbentuk game show yang bermula sejak awal Mac lalu mula mendapat kritikan pedas apabila salah seorang peserta yang dikenali, Wan Zarith Sofia yang mewakili negeri Johor, gagal membezakan Mother Teresa dan Mahatma Gandhi.

Perkara itu berterusan apabila peserta Selangor, Arina Mohd Fairin tidak dapat menjawab soalan mudah berkenaan bilangan warna bendera Malaysia.

Terbaru pihak produksi pula mendapat kritikan hebat apabila rata-rata peserta menjawab soalan; “Berapa banyakkah filem P Ramlee yang ada perkataan Bujang Lapok?” dengan jawapan tiga dan seterusnya disahkan oleh pengacaranya, Alif Satar walaupun jawapan sebenar adalah empat iaitu,Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok. (rtky/w)