fbpx

Filem Minggu Ini — X-Men: Days Of Future Past

X-Men: Days of Future Past (2014) ialah filem adaptasi superhero dari komik Marvel merujuk kepada salah satu sirinya Uncanny X-Men. Filem ini sekaligus menjadi sekuel kepada 2 filem terdahulu iaitu X-Men: First Class (2011) dan X-Men: The Last Stand (2006). Ia masih bercerita mengenai pertembungan kuasa mutant vs manusia dimana kali ini ditambah ‘kuasa’ ke-3 yang lagi mencabar iaitu kumpulan Sentinels. Sila lakukan carian di google dan wikipedia ya!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler

Ini saranan saya yakni anda perlu menonton semula 3 siri filem X-Men terawal di tahun 2000, 2003, 2006 untuk lebih mengenali watak-wataknya. Namun di akhir tontonan anda, semua kisah filem itu kecuali X-Men: First Class seolah mungkin tidak pernah terjadi kerana perubahan ‘sejarah’ dek kewujudan filem kali ini. Ia sedikit seperti filem Looper (2012) yang bermain dengan pengubahan insiden di masa lampau untuk membetulkan masa kini.

IH7A9656.CR2

Namun begitu, tak perlu juga terlalu memikirkan ‘perubahan’ atau sambungan plot di antara satu filem ke satu filem secara turutan sekuen waktu ia berlaku, kerana ini filem time travel ke depan dan ke belakang melangkau cerita-cerita X-Men yang sudah difilemkan dalam jarak 50 tahun. Misalnya, adakah watak Trask (Bill Duke) dalam X-Men: The Last Stand ialah watak yang ‘sama tapi tak serupa’ Bolivar Trask (Peter Dinklage) kali ini? Jangan terlalu fikir, nanti keliru!

Seandainya anda hanya menonton X-Men: Days of Future Past (2014) secara berdikari, penceritaannya masih mampu diikuti kerana kronologi ceritanya tak pernah berhenti, tidak meleret, ia bergerak dengan laju. Mungkinlah sedikit tertanya-tanya siapa dan kenapa misalnya babak Mystique menangis menatap lakaran beberapa watak X-Men merujuk kepada filem terdahulu, tetapi percayalah bahawa perwatakan dan plotnya mampu dirungkai dengan baik.

Filem ini ada 2 zaman, moden futuristik dan retro. Babak-babak pembukaan filem ini berlatarkan pentas fiksyen sains sehabisnya dalam landskap apokalips, pasca kehancuran bumi oleh Sentinels. Kemudian ceritanya mengundur ke belakang di tahun 70-an.

Saya suka sesekali permainan kerja kamera ala paparan visual menonton televisyen dulu-dulu format 4 x 3 seolah genre reality tv. Premisnya lengkap dengan kostum, set serta disulami lagu yang sinonim di zaman itu. Anda akan dihantui oleh lagu The First Time Ever I Saw Your Face oleh Roberta Flack selepas ini.

IH7A0678.CR2

Pengarahnya, Bryan Singer dan penulis skrip, Simon Kinberg seakan sudah mengkaji dan memahami kelebihan atau kekurangan filem X-Men sebelumnya. Setiap faktor wow dilipat gandakan lebih besar. Misalnya kalau dalam filem X-Men: The Last Stand, Magneto versi Ian McKellen mampu memindahkan The Golden Gate Bridge, kali ini Magneto versi Michael Fassbender mampu memindahkan ‘sesuatu’ yang lebih maha mega besar gila!

Kalau Magneto versi veteran dalam X2: X-Men United (2003) dikurung dalam sebuah penjara plastik yang unik, kali ini Magneto versi muda dikurung dalam sebuah penjara yang nampak lebih sukar dan kebal. Filem ini cuba menaikkan setingkat lagi kehebatan aksi dan paparan visual ber-CGI berbanding francais-nya sendiri yang lama.

Filem ini sarat dengan drama persahabatan di antara anggota X-Men yang diuji dengan konflik utama paling asas iaitu ‘survival’ mereka di masa akan datang yang hanya mampu diselamatkan oleh mereka sendiri di masa lampau, dengan syarat mereka bersatu hati bekerjasama, bergabung.

Ancaman dalam bentuk Sentinels itu puncanya juga bermula dari salah seorang anggota mereka sendiri. Maka salah seorang perlu dikorbankan untuk menghentikan semuanya di masa akan datang. Dalam erti kata lain, selepas ini boleh dibikin berbagai versi reboot dan spin-off X-Men kerana tidak terikat dengan naratif yang sudah difilemkan. Untunglah Marvel!

HW7A9079.CR2

Saya rasakan bahawa filem ini selain dari ektravaganza paparan aksi pertempuran yang tidak dinafikan memang hebat, ia dikuatkan lagi oleh barisan pelakon yang begitu bagus menyarung imej dan emosi setiap watak X-Men dalam bentuk figura fiksyen dari komik. Watak Magneto oleh Michael Fassbender merealisasikan antagonis jahat antihero yang wajar sebegitu kerana dendam kesumatnya yang berpanjangan kerana hipokrasi dan diskriminasi pihak kerajaan manusia biasa.

Kali ini, watak Mystique diberikan justifikasi perwatakan yang penting demi misi memperjuangkan ‘hak’ dirinya sebagai mutant di mata manusia biasa. Mystique lebih menyerlah berbanding dalam filem terdahulu yang sekadar menjadi sidekick tempelan kepada Magneto sahaja. Wataknya diangkat sebagai objek yang menjadi rebutan utama lawan dan kawan sendiri. Perwatakan Mystique kelihatan ‘hidup’ kerana digalas oleh Jennifer Lawrence yang terbukti bagus serta umpan pemasaran pasti laku dek populariti siri filem The Hunger Games dan sebagai pemenang Oscar.

Sementara itu, gelaran ‘raja drama dan air mata’ boleh diberikan kepada James McAvoy sebagai Charles Xavier yang memberikan momen-momen pilu, nasihat dan semangat. Babak-babak cameo watak Quicksilver (Evan Peters) pula sudah cukup menyelitkan humor sebelum konfrontasi serius besar-besaran mutant vs manusia di akhir filem ini.

IH7A1611.CR2

Hugh Jackman sebagai Wolverine sudah ada 2 filem spin-off X-Men dengan judul namanya. Maka kali ini Wolwerine cuma jadi orang tengah dan penyambung dan penggerak plot ke depan dan ke belakang masa. Otai-otai filem X-Men juga kembali beraksi iaitu Patrick Stewart sebagai Professor X, Ian McKellen sebagai Magneto, Halle Berry sebagai Storm serta anak-anak mutant yang lain dari X-Mansion.

Filem ini ada ramai watak X-Men. Anda boleh suka semuanya sebab best! Serta jangan lupa menonton sehingga habis paparan kredit akhir kerana ada petanda watak filem X-Men akan datang di hujungnya ya!

XMENDOFP

KESIMPULAN

X-Men Days of Future Past (2014) berjaya mempersembahkan sebuah filem berisi cerita dan penceritaan yang sangat memuaskan. Bak kata Professor Charles Xavier “Please…We need you to hope again…” dan saya sangat berharap filem sekuel seterusnya lebih meletup!

Saya yakin untuk berikan 5 BIJI ROTIKAYA.