fbpx

Filem Minggu Ini — The Lego Movie, Iklan Terbaik Sepanjang Zaman?

The LEGO Movie (2014) ialah sebuah filem animasi aksi komedi gabungan teknik ‘stop-motion’ dari permainan LEGO yang sebenar dan teknik imej janaan komputer (CGI) yang diarahkan oleh Phil Lord dan Chris Miller yang terkenal dengan arahan filem animasi Cloudy with a Chance of Meatballs (2009).

Ceritanya bermula dengan babak Lord Business (Will Ferrell) yang berjaya merampas senjata berbahaya yang dinamakan ‘Kragle’ dari ahli sihir Vitruvius (Morgan Freeman) untuk menakluk dan mampu memusnahkan seluruh dunia LEGO. Namun begitu, Vitruvius meramalkan bahawa pada suatu hari nanti seseorang yang istimewa digelar ‘Master Builder’ akan menemui ‘Piece of Resistance’ iaitu alat yang mampu menewaskan senjata ‘Kragle’.

Filem ini melompat 8 setengah tahun kemudian, dimana pengenalan watak Emmet Brickowski (Chris Pratt) yang sangat bersifat ‘skema’ mengikut rutin dan peraturan hidup sehariannya. Walaupun Emmet seorang yang lurus bendul dan sangat baik hati kepada semua orang dan benda, tetapi dia tidak dihiraukan oleh rakan sekerja dan orang sekelilingnya. Dalam ertikata lain Emmet ialah seorang yang sangat biasa, tiada apa-apa keistimewaan dan hanya di pandang sebelah mata sahaja.

LEGO

Kisahnya mula berkembang apabila Emmet terintai watak Wyldstyle (Elizabeth Banks) sedang mencari sesuatu dalam runtuhan di lokasi bangunan tempat Emmet bekerja sebagai pekerja binaan. Tanpa diduga, Emmet terperosok ke dalam lubang runtuhan itu lalu menemui sesuatu yang bercahaya. Setelah menyentuh alat itu, Emmet jatuh pengsan!

Setelah tersedar, Emmet mendapati alat berbentuk kotak berwarna merah itu telah terlekat di belakangnya dan dia sedang ditahan di sebuah balai polis. Dia disoal siasat oleh Bad Cop/Good Cop (Liam Neeson) mengenai kotak itu tetapi Emmet memang tidak tahu-menahu apa-apa mengenainya. Lord Business mengesyaki bahawa Emmet ialah orang yang pernah diramalkan oleh Vitruvius untuk mengalahkannya dan kotak merah itu ialah ‘Piece of Resistance’. Untuk melenyapkan kegusaran Lord Business, maka Bad Cop/Good Cop ambil keputusan mengarahkan pasukannya Super Secret Police untuk membunuh Emmet.

Di saat genting itulah, Wyldstyle datang menyelamatkan Emmet melalui sekuen babak-babak pertempuran sengit dan aksi kejar-mengejar yang hebat! Ok! Anda sudah teruja membaca sedikit permulaan babak-babak dalam ulasan ini? Maka anda harus ke pawagam untuk menyaksikan sendiri untuk mengetahui kesudahan cerita ini sekarang!

TLM11

The LEGO Movie pandai menyumbatkan watak-watak adiwira yang terkenal seperti Batman (Will Arnett), Superman (Channing Tatum), Green Lantern (Jonah Hill), Wonder Woman (Cobie Smulders) dan lain-lain. Malahan filem ini juga menambah watak-watak baru yang diperkenalkan untuk set LEGO di samping watak-watak utamanya seperti Uni-Kitty (Alison Brie) dan Benny, a.k.a. 1980-Something Space Guy (Charlie Day). Saya pasti ia akan menjadi kegilaan kanak-kanak dan orang dewasa berjiwa keanakan untuk membeli set LEGO 2014. Pasti!

Filem ini bagus dari beberapa sudut pembikinan yang teliti. Walaupun jalan ceritanya seiras gabungan asas naratif filem-filem ‘the one’ watak Neo dalam The Matrix (1999) dan Frodo Baggins dalam siri filem The Lord of the Rings (2001-2003) tetapi watak Emmet Brickowski dalam filem ini lebih santai dan ringan kerana ia dibikin dari pengembangan cerita permainan kanak-kanak. Dari sudut pemilihan suara latar watak-wataknya pula, produksi The LEGO Movie pandai memilih barisan pelakon yang ternama untuk kesesuaian perwatakannya.

TLM4

Menonton filem animasi sebegini, mata anda akan sentiasa teruja dengan kualiti warna-warni yang dipaparkan di skrin wayang. Maksud saya, bersesuaian dengan permainan LEGO yang sudah sedia maklum mempunyai spektrum warna cerah dan garang, filem ini juga kaya dengan pemaparan visual-visual aksi yang sentiasa terang dan berwarna-warni. Untuk kepuasan penontonan maksima, anda disarankan menontonnya dalam versi 3D.

The LEGO Movie dari judulnya sahaja sudah jelas terang lagi bersuluh bahawa ia sebuah filem yang secara nyata dan jelas menjual jenama LEGO sebagai ‘product placement’ yang maha mega besar-besaran. Pembikinannya memang melibatkan ‘construction set’ dari LEGO yang sedia ada di pasaran. Dengan penerbitan filem ini, sudah tentu ia ialah iklan terhebat untuk melonjakkan penjualan permainan video dan kekotak jenama LEGO dari semua watak-watak dan setiap set terbaru dalam sekuen babak yang ditampilkan. Namun begitu, melalui sentuhan perfileman Hollywood dan teknologi moden pembikinan filem terkini, ia masih mampu berdiri sebagai sebuah filem animasi yang baik.

AWAS ADA SPOILER: Pemasaran filem ini melalui trailer dan poster berjaya menyimpan plot dan babak yang paling penting dalam penceritaannya. Anda akan teruja apabila babak menuju ke penghujung filem ini akan memaparkan siapakah sebenarnya ‘pencerita’ dan dari manakah watak-watak dalam filem ini terbentuk? Anda juga akan mengetahui siapakah Lord Business di alam nyata.

TLM3

Konsep penceritaannya seperti filem animasi Toy Story (1995), Monsters, Inc. (2001) dan Wreck-It Ralph (2012) dimana ia diceritakan dalam bentuk ‘cerita dalam cerita’ yang diberikan aksi kepada watak-watak rekaan permainan kanak-kanak. Untuk filem ini, semua sekuen cerita yang disaksikan oleh penonton ialah sebenarnya imaginasi dalam pemikiran seorang kanak-kanak yang bernama Finn (Jadon Sand) yang berumur mungkin 8 tahun. Sebab itulah perjalanan plot filem ini begitu dinamik dan berkembang dengan kreativiti yang begitu meluas ideanya tidak dapat dijangka dan kadangkala kelihatan janggal. Contohnya, bentuk watak ketua lanun Metal Beard (Nick Offerman) begitu bersepah-sepah tetapi unik. Namun anda wajar menontonnya dengan hati terbuka untuk berhibur seperti bermain set LEGO itu sendiri.

KESIMPULAN

The LEGO Movie (2014) bermula dari imaginasi seorang kanak-kanak iaitu Finn mengenai tudung gam berjenama Krazy Glue yang hilang, lantas ia menjadi sebuah pengembaraan oleh watak Emmet yang sangat hebat! Setelah tamat menontonnya barulah anda faham apakah makna ‘Kragle’. Filem ini wajar saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA.