fbpx

I, Frankenstein (2014) ialah sebuah filem aksi fantasi terbitan negara Australia dan Amerika arahan Stuart Beattie yang terkenal dengan filem Pirates of the Caribbean (2003). Filem ini diadaptasi dari novel grafik dengan judul yang sama karya oleh Kevin Grevioux yang juga penulis novel grafik dan penulis skrip filem Underworld (2003).

Kisahnya bermula di tahun 1795 dimana Dr. Victor Frankenstein (Aden Young) cuba memusnahkan ‘makhluk’ ciptaannya yang ‘dihidupkan semula’ dari cantuman mayat-mayat melalui renjatan elektrik. Namun begitu, makhluk itu gagal dihapuskan dan sebaliknya membalas dendam dengan membunuh isteri Victor iaitu Elizabeth (Virginie Le Brun).

Selanjutnya, filem ini dikembangkan sesuka hati oleh pembikin filem ini dengan menambahkan kreativiti kepada kisah asas novel Frankenstein tulisan Mary Shelley (1818) yang bagus itu dahulu. Victor memburu makhluk tersebut sehingga ke kutub utara, namun dia mati kesejukan di pertengahan jalan. Makhluk itu yang ternyata sangat kuat, tahan lasak dan tak mati-mati, lantas mengkebumikan mayat Victor di sebuah tanah perkuburan. Sewaktu itulah, ia diserang oleh sekumpulan ‘demon’ (makhluk berbadan seperti manusia tetapi berkepala syaitan) yang mahu menangkapnya untuk diserahkan kepada Prince Naberius (Bill Nighy) iaitu ketua mereka.

IF2

Datang pula sekumpulan ‘gargoyle’ (makhluk berbadan seperti manusia dan boleh berubah menjadi raksasa bersayap) dimana 2 makhluk gargoyle iaitu Ophir (Mahesh Jadu) dan Keziah (Caitlin Stasey) berjaya memusnahkan kesemua demon. Makhluk itu dibawa mengadap ketua gargoyle iaitu Ratu Leonore (Miranda Otto) untuk dilindungi tetapi dibenci oleh ketua tentera gargoyle iaitu Gideon (Jai Courtney).

Leonore menamakan makhluk itu ‘Adam Frankenstein’ (Aaron Eckhart) sempena nama penciptanya, Dr. Victor Frankenstein. Leonore juga meminta Adam untuk berpihak kepada gargoyle dalam peperangan menentang demon. Namun begitu, Adam yang lebih rela berada atas pagar telah meninggalkan gereja gargoyle untuk berkelana mencari sendiri Naberius untuk dimusnahkan dan mencari jawapan kenapa dia hendak diculik?

Apakah kisah seterusnya?

IF4

Filem ini melompat ke 200 tahun kemudiannya ya! Selepas merantau dan hidup berbagai zaman manusia, Adam kini merayau-rayau sehingga ke kelab malam di sebuah bandar. Adam mengenalpasti salah seekor demon ada di situ. Lalu Adam memburu demon itu untuk mengetahui di manakah Naberius berada? Ya! Selepas 200 tahun mencari, tahu? Waktu yang sama, Prince Naberius yang kini menyamar sebagai Charles Wessex sedang membuat ujikaji seperti projek Dr. Victor Frankenstein dahulu di syarikatnya dengan bantuan seorang saintis cantik bernama Terra Wade (Yvonne Strahovski).

Apakah lagi kisah seterusnya? Anda kena saksikan sendiri di pawagam tempatan sekarang.

I, Frankenstein ialah filem yang sangat longgar jalan ceritanya. Walaupun ia dikategorikan sebagai sebuah filem aksi fantasi yang sudah tentu mencampakkan keluar fikiran logik dari kotak fikiran, namun ia terlalu banyak lubang plot. Ia cuba sebaris dengan filem-filem adiwira dan perang fiksyen seperti Thor (2011) dan Underworld (2003) malahan cuba sedaya-upaya menandingi semerepeknya filem Twilight (2008).

IF6

Filem ini sebenarnya mempunyai permulaan yang agak ok kerana mengambil asas dari novel Frankenstein, tetapi gagal untuk mengembangkan perwatakan Frankenstein ke medium fantasi ber-CGI yang lebih baik. Filem ini berpotensi untuk diceritakan seperti filem The Wolfman (2010) tetapi kerana ia dibikin dengan keterujaan penulisnya Kevin Grevioux untuk menjadi naratif sebijik seperti Underworld, maka ia menjadi filem yang hanya sekadar menjadi filem yang bakal menjadi produk untuk permainan video sahaja.

Mungkin memang itu tujuannya. Filem ini hanya memberikan paparan-paparan pertempuran dengan adegan slow-mo dan letusan perang dari pihak gargoyle menentang demon yang diakhiri dengan 2 bentuk ‘kemusnahan’. Tentera gargoyle di pihak yang baik akan musnah bertukar kepada cahaya kebiruan lurus naik ke langit (syurga). Manakala tentera demon pihak yang jahat akan mampus terbakar ‘pofff!’ menjadi sinaran bebola api berpintal-pintal, berpusar-pusar lenyap (kembali ke neraka).

IF5

Di antara kedua-dua pertembungan gargoyle dan demon itulah watak Adam Frankenstein terperangkap bersama dengan seorang manusia iaitu Terra Wade. Yang menjadi tandatanya juga, kononnya pihak gargoyle seolah pelindung manusia dari kuasa demon tetapi dalam filem ini watak manusia hanyalah seperti semut-semut yang bersiar-siar semasa gajah berlawan dengan burung garuda. Bayangkan pertempuran sengit meletup terbakar di sekitar bandaraya dan angkasa, tidak langsung dipedulikan oleh penduduk di situ. Mungkin mereka bertempur dalam dimensi dunia lain yang halimunan? Mungkin juga! Siapa tahu?

Dari sudut lakonan, watak utamanya Adam Frankenstein lakonan Aaron Eckhart yang terkenal dan bagus sebagai watak semi protagonis-antagonis, baik-buruk dalam filem Batman: The Dark Knight (2008) sebagai Harvey Dent/Two-Face sebenarnya telah cuba sedaya-upaya untuk disukai. Tetapi kali ini mungkin ia menjadi filem yang dikesali sebagai watak hero terburuk dalam biografi lakonannya.

I, FRANKENSTEIN

I, Frankenstein ialah contoh filem 100% bertih jagung yang kosong dan berangan tinggi tetapi tak mustahil akan laku di pasaran dvd dan blu-ray. Plotnya yang nipis tetapi disaluti dengan penceritaan yang tebal dengan dialog dan CGI yang beriya-iya, kurang memberi kepuasan hiburan yang maksima. Ia hanya cuba untuk memancing penonton yang mahu ternganga menonton visual yang mahu sehebat filem-filem fantasi perang tetapi hanya mampu kelihatan amatur dan biasa-biasa sahaja.

KESIMPULAN

I, Frankenstein kali ini tidak ada skru di lehernya dan tidak besar fizikal kepalanya seperti otak mahu terkeluar. Tetapi kalau anda mahu menonton filem aksi fantasi peperangan seperti menonton pesta bungapi berwarna-warni di funfair atau sarkis dan jika anda mahu melihat wajah-wajah gargoyle dan demon seperti raksasa-raksasa dalam siri TV Ultraman?

Ini filemnya. 1 BIJI ROTIKAYA sahaja!