fbpx

Dracula Untold: Bermulanya Era Adiwira Dari Golongan Raksasa

“Sometimes, the world no longer needs a hero, it needs a monster” — Vlad atau Dracula

Dracula ialah antara watak antagonis berasal dari novel tulisan Bram Stoker berjudul ‘Dracula’ (1897) yang kerapkali diadaptasi ke filem dalam berbagai versi, zaman dan bahasa. Jadi, apa lagi kisah yang tinggal atau belum diceritakan dari kisah pontianak yang menghisap darah itu?

Dracula Untold (2014) ialah sebuah filem drama aksi fantasi yang mengambil kisah asas sahaja tentang perwatakan Dracula dari novel itu lalu mengadunnya dengan kisah sejarah seorang raja bernama Vlad the Impaler lakonan oleh Luke Evans.

Filem ini dibuka dengan paparan kronologi bagaimana kanak-kanak dari negara kerajaan Transylvanian, Romania kuno dikerahkan menjadi askar untuk kerajaan Turki menakluki negara-negara barat di tahun 1400-an. Vlad, seorang putera raja yang juga menjadi salah seorang tentera sejak kecil sudah terkenal dengan keganasannya menyula semua askar di negara yang mereka takluki supaya dia lebih digeruni sampai bila-bila.

DU2

10 tahun kemudian Vlad kembali ke negaranya dan menjadi raja kerajaan Transylvanian. Dia memiliki seorang isteri, Mirena (Sarah Gadon) dan seorang putera, Ingera (Art Parkinson). Waktu yang sama, bala tentera Turki yang diketuai oleh Raja Mehmed II (Dominic Cooper) sekali lagi datang ke negara Vlad untuk menuntut 1000 orang kanak-kanak rakyat Transylvanian dikerahkan secara paksa untuk menyertai tentera mereka.

Sanggupkah Vlad melihat sejarah berulang iaitu puteranya dirampas untuk dijadikan askar seperti pernah terjadi kepadanya dahulu? Itulah persoalan pokok yang menghantui fikiran Vlad sekaligus menjadi pencetus penceritaan filem ini seterusnya. Saksikan kesudahan filem Dracula Untold di pawagam tempatan sekarang!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

DU5

Vlad hanya ada satu pilihan sahaja iaitu mesti berjuang mati-matian untuk mempertahankan maruahnya sebagai seorang raja dan ketua keluarga. Dia mendengar khabar angin malahan pernah bertembung dengan seseorang yang aneh atau seekor raksasa tinggal di gua Pergunungan Broken Tooth bergelar Caligula (Charles Dance) yang mempunyai ilmu hitam dan membaham sesiapa sahaja yang datang ke situ.

Lantas Vlad tekad bertemu Caligula untuk mencuba nasib seandainya dia boleh dapat kekuatan seperti raksasa itu. Seterusnya penceritaan dikembangkan kepada dua cabang, proses penuntutan ilmu hitam Vlad untuk menjadi Dracula dan konflik serangan penaklukan tentera-tentera Raja Mehmed II yang semakin hampir.

Filem ini merealisasikan watak ‘Dracula’ versi novel yang sememangnya diambil cerapan dan tekapan serta inspirasi oleh Bram Stoker, pengarang novel Dracula dari nama keturunan Vlad iaitu ‘Dracul’ dan ciri-ciri keberaniannya.

Filem Dracula Untold mengiyakan bahawa kewujudan Dracula memang benar-benar bermula dari kisah Raja Transylvanian, Vlad III Tepes. Itulah Hollywood! Pembikin filem di sana akan menggarap apa sahaja sumber cerita melalui lesen kreatif mereka untuk memberikan sebuah penceritaan filem yang mahu kelihatan lain dari filem-filem Dracula sebelumnya.

DU11

Dracula versi Vlad ditampilkan tidak mengetengahkan kezaliman seekor pontianak yang menghisap darah manusia secara rawak sebagai mangsa untuk menyambung hayat dan tenaganya. Kali ini, Dracula dipaparkan sebagai antihero yang menyerang dan membunuh musuh-musuh demi mempertahankan rakyat dan negaranya yang hendak ditakluki oleh bala tentera kerajaan Turki.

Kuasa ajaib yang dimiliki oleh Vlad seperti seekor raksasa dengan kekuatan ya amat, mampu berlari pantas, ada deria pancaindera yang melampau dan tubuhnya boleh bertukar menjadi sekumpulan kelawar! Anda boleh bayangkan gabungan kuasa Wolverine dan Quicksilver (X-Men: Days of Future Past, 2014), Grenouille (Perfume: The Story of a Murderer, 2006) dan video muzik ‘Frozen’ (1998) oleh Madonna. Pertempuran Vlad seorang diri menentang sekumpulan bala tentera kerajaan Turki pula mirip Neo melawan Agent Smith yang ramai gila dalam filem The Matrix Reloaded (2003). Macam itulah!

Dracula Untold ialah filem ‘reboot’ watak fiksyen Dracula seperti adiwira gelap dimana kisah seram ditukar ke penceritaan drama aksi fantasi. Vlad diberikan sebab-sebab kukuh untuk sanggup berkompromi dengan seorang manusia yang telah dirasuk syaitan iaitu Caligula untuk merasai dan memilik kuasa ilmu hitam selama 3 hari. Namun begitu, kuasa sementara itu bersyarat yakni seandainya Vlad tidak dapat menahan nafsu lalu menghisap darah manusia, maka dia akan kekal sebagai Dracula selama-lamanya.

DU1

Filem ini seperti beberapa buah filem lain yang mengadaptasi cerita raksasa aneh dari novel atau kisah dongeng untuk diberikan nafas baru. Misalnya seperti filem The Wolfman (2010), I, Frankenstein (2014) dan ‘spin-off’ Van Helsing (2004). Filem sebegini kononnya menceritakan asal-usul watak-watak seram itu di zaman lampau. Dracula Untold pula tidak mahu berhenti setakat sebagai sebuah filem berdikari satu terbitan sahaja dengan memberikan babak tambahan di akhir filem untuk sekuelnya di zaman moden, hari ni. Kita tunggulah.

Dari sudut lakonan, Luke Evans berjaya menghidupkan wataknya sebagai Vlad yang berada dalam dilema kerana tanggungjawabnya sebagai seorang suami, ayah dan raja untuk mempertahankan keluarga dan negaranya mirip watak Leonidas dalam filem 300 (2007). Demi desakan itulah Vlad sanggup mengorbankan dirinya sendiri untuk berserah kepada kuasa hitam Caligula untuk bertukar menjadi seekor raksasa yang ganas, Dracula.

Produksi filem Dracula Untold yang diarahkan oleh Gary Shore ini bolehlah dikatakan menghiburkan dan mengulang resepi filem aksi fantasi ber-CGI untuk babak-babak peperangan yang besar serta evolusi Vlad menjadi Dracula. Suntingan semasa babak Caligula memerhatikan mangsa-mangsa dalam gua mengingatkan saya kepada filem Predator (1987) dan latar Dracula yang tidak mati-mati akan pasti dibandingkan dengan Highlander (1986).

KESIMPULAN

DU4

Dracula Untold (2014) bukan sebuah filem yang menyeramkan dengan paparan Dracula berwajah pucat berjubah hitam berkolar tinggi yang hendak menggigit dan menyedut darah di leher mangsa seperti suku-sakatnya sebelum ini. Filem ini ialah Dracula yang beremosi dan seorang perwira yang berperang menentang kejahatan lain yang lebih jahat dari dia.

Saya berikan 3 BIJI ROTIKAYA.