fbpx

Che Ta Tak Kisah Dikritik Menunjuk Punca MPV Dicuri

Baru-baru ini kecoh sebentar laman sosial apabila ramai selebriti mula berkongsi membantu mencari kenderaan MPV milik Rozita Che Wan yang hilang. Disebalik kesedihan itu, ada sesetengah pihak menyalahkan sikap Che Ta sendiri yang gemar menunjukkan kemewahan yang dimiliki menerusi laman sosial Instagram sehingga menyebabkan keretanya dicuri.

BACA: “Tak Minat Buat Iklan Ghairah, Nampak Murah”

“Biarlah mereka nak kutuk apa. Saya tidak kisah dan tidak ambil peduli kerana mereka bukan penentu masa depan atau kehidupan saya. Kutukan seperti ini sudah biasa saya alami dan selama ini saya hanya menjadi diri sendiri. Saya cantik pun orang kutuk, ini kan pula kenderaan hilang, memang macam-macam lah orang akan fikir dan cakap pasal saya”

“Lumrah hidup menjadi anak seni, setiap perkara dilakukan pasti akan ada pihak yang memerhati. Sama ada mereka memuji atau pun mengeji saya tidak kisah,” katanya kepada Projek MMO mengenai sikap sesetengah orang ramai yang menganggap kejadian kereta beliau hilang baru-baru ini terjadi oleh kerana sifatnya yang suka menunjukkan kemewahan.

Terdahulu, menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari, hasil dari pemantauan kamera litar tertutup CCTV di tempat kejadian mendapati dua suspek telah merempuh palang parkir sebelum melarikan kenderaan tersebut, namun menerusi rakaman tersebut wajah suspek kurang jelas dan menyukarkan proses pencarian suspek berkenaan.

Pada masa yang sama, ACP Azlin turut meminta bantuan orang ramai yang mengetahui sebarang maklumat mengenai kereta dengan nombor pendaftaran WWQ 93 supaya tampil menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan. Selain kehilangan kereta yang dianggarkan bernilai RM200,000, beberapa barang berharga seperti beg tangan dan kasut turut dilarikan. (rkty/w)