fbpx

Big Hero 6: Adaptasi Segar Komik Adiwira Bersama Robot Montel Yang Comel

Big Hero 6 (2014) ialah filem yang seronok untuk ditonton oleh kanak-kanak mahu pun orang dewasa. Maklumlah ia bikinan produksi Walt Disney Animation Studios! Sudah tentu ia dipenuhi dengan kisah kasih-sayang ya tak? Filem ini merupakan adaptasi longgar dari komik yang tidak berapa dikenali dari Marvel Comics yang kini menjadi hak milik The Walt Disney Company.

Namun begitu, filem ini hanya mengambil asasnya sahaja dari watak-watak Big Hero 6 yang diolah semula kepada naskhah skrip cerita yang baru melalui lesen kreatif pembikinnya dengan mengadaptasi dan mengubah bentuk serta perwatakan Baymax (suara watak oleh Scott Adsit) menjadi robot yang sangat comel, naif dan sangat hebat.

BH6-13

Kisahnya mengenai Hiro Hamada (suara watak oleh Ryan Potter) remaja nakal anak yatim piatu yang pintar mencipta robot kecil untuk berlawan dan bertaruh di gelanggang pertandingan robot seperti acara gusti. Abangnya pula, Tadashi Hamada (suara watak oleh Daniel Henney) ialah pelajar jurusan robotics di San Fransokyo’s Institute of Technology. Tadashi mahu Hiro mengikut jejak langkahnya untuk mengembangkan bakat ciptaan robot di universiti itu berbanding membazirkan masa di pertandingan robot.

Selepas Tadashi membawa Hiro ke makmal kajian robot dan memperkenalkan rakan-rakannya, Tadashi berjaya memujuk Hiro untuk mempersembahkan ciptaannya iaitu microbots untuk melayakkan dia memasuki universiti. Namun suatu tragedi yang tidak diduga telah berlaku di hari persembahan itu. Apakah yang berlaku? Apa kaitan Baymax dan Tadashi? Siapakah dalang insiden malang itu? Anda tontonlah filem Big Hero 6 ini di pawagam yang berhampiran rumah sekarang untuk mendapat jawapan!

AMARAN: Ulasan seterusnya mungkin mengandungi spoiler, baca dengan risiko sendiri

BH6-2

Tarikan utama filem ini ialah Baymax, Baymax dan Baymax! Maksud saya seandainya filem ini sekadar kisah sekumpulan super hero seperti The Avengers dalam versi animasi, mungkin ia mudah dilupakan. Baymax ialah robot yang direka khas oleh Tadashi sebagai penjaga kesihatan peribadi seumpama seorang doktor dan jururawat.

Reka bentuk Baymax yang mirip seekor beruang kutub berwarna putih yang montel sudah pasti akan menjadi kegilaan kanak-kanak untuk memiliki patungnya di pasaran. Baymax juga mempunyai ciri-ciri unik sebuah robot yang agak merepek kerana boleh dikempiskan untuk disimpan di dalam kotak. Secara mudahnya, Baymax ialah watak robot yang paling kreatif setakat ini berbanding penampilan robot-robot lain dalam filem yang terdahulu.

Hubungan persahabatan Hiro dan Baymax mengingatkan saya kepada filem Terminator 2: Judgment Day (1991), E.T. the Extra-Terrestrial (1982) dan siri tv Mork & Mindy (1978-1982) mengenai hubungan seorang manusia dengan makhluk lain yang diajar dan belajar mengenai kehidupan manusia di sepanjang penceritaan. Big Hero 6 ialah sejenis filem yang dikembangkan kerana keperluan pengganti ahli keluarga yang sudah tiada.

BH6-10

Bagi Hiro, Baymax seumpama harta atau binatang peliharaan yang diwasiatkan dari abangnya Tadashi. Sekali gus menjadi ahli keluarganya yang baru seperti seorang abang tempat Hiro mengadu juga sebagai adik kecil yang baru mengenal erti hidup perlukan bimbingan. Pertalian simbiosis di antara Hiro dan Baymax saling ganti-berganti dimana kadangkala Baymax pula seakan ibu bapa yang melindungi Hiro di saat-saat genting yang membahayakan nyawanya, juga memberi nasihat yang kedengaran lurus-bendul tetapi memang betul.

Bagaimanapun, Baymax ialah sebuah robot yang boleh diubah suai mengikut perisian komputer. Asal pembikinan robot Baymax yang dimuat naik oleh Tadashi untuk tujuan perubatan bergabung dengan data chip robot pemusnah ala Iron-Man menghasilkan kombinasi yang hampir sempurna mempunyai emosi dan mampu berfungsi sebagai senjata berbahaya.

Filem ini seakan mengatakan bahawa setiap ciptaan dari sains dan teknologi mampu memberi pilihan sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya bergantung siapakah penggunanya. Itu yang berlaku kepada watak Yokal apabila memanipulasikan ciptaan Hiro iaitu microbots yang disalah gunakan untuk membalas dendam.

BH6-4

Namun begitu, filem ini kadangkala kelihatan hanya menjadikan judulnya Big Hero 6 sebagai batu loncatan pemasaran sahaja kerana watak-watak ahlinya yang diangkat dari Marvel Comics agak tenggelam berbanding watak ciptaan semula Disney iaitu Baymax. Pembentukan dan penampilan Fred, GoGo Tomago, Wasabi dan Honey Lemon sekadar mencukupkan ahli Big Hero 6. Bila difikirkan semula, hanya Hiro dan Baymax yang diangkat sebagai peneraju utama untuk beraksi dalam babak besar ke kemuncak penceritaan & bukan sebagai sebuah kumpulan Big Hero 6.

Kelebihan dan identiti utama yang sinonim untuk setiap filem terbitan Disney ialah drama dan emosi kemanusiaan yang pasti menyentuh perasaan penonton. Dalam filem ini, diantara babak yang mampu memerah air mata ialah di saat-saat genting perpisahan Baymax yang sanggup mengorbankan dirinya untuk menyelamatkan Hiro semasa terperangkap di dalam ruang portal.

BH6-11

Secara peribadi, saya merasakan bahawa filem Big Hero 6 ialah antara filem terbaik berkisar elemen futuristik oleh Walt Disney Animation Studios selepas Wreck-It Ralph (2012). Produksinya mahu mempelbagaikan lagi cerita selain hanya mengangkat kisah-kisah dongeng atau mitos sahaja yang sering menjadi label filem-filem animasi terbitan Disney. Hak milik kepada perpustakaan Marvel Comics sudah pasti akan menjadi ‘lombong emas’ kepada produksi Disney untuk membikin filem-filem animasi yang lebih beraneka di masa akan datang.

KESIMPULAN

BH6-9

BIG HERO 6 memang sebuah filem yang berjiwa besar, sebesar perut Baymax. Inilah sebuah filem wajib tonton yang sesuai ditonton untuk seisi keluarga. Penonton kanak-kanak akan terhibur dan belajar erti persahabatan serta kreativiti. Penonton dewasa pula pasti mahu memeluk Baymax seandainya ia ada di depan mata. Eh! Atau saya terbalik? Oh! Jangan lupa menonton filem ini sehingga tamat paparan kredit di akhir cerita kerana ada satu babak tambahan yang kelakar.

Saya berikan 5 BIJI ROTIKAYA.