fbpx

Ahli Perniagaan Fail Saman Terhadap Zarina Anjoulie Atas Isu Kereta Mewah

Seorang ahli perniagaan menyaman pelakon kontroversi Zarina Anjoulie Lavocah dan lima yang lain kerana dakwaan kecuaian dan penipuan berkaitan sebuah kereta mewah.

Kevin Shah Kadar Shah, 33 berkata bapanya Kadar Shah Sulaiman telah membeli sebuah kereta jenis BMW 3201 Limosin RHD dan mendaftar kenderaan itu di bawah namanya (Kadar) pada 17 Mei 2010.

Beliau berkata bapanya yang juga ahli perniagaan telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Public Islamic Bank Bhd dan menandatangani perjanjian untuk membiayai pembelian kereta.

Kevin Shah berkata bahawa bapanya telah meminjamkan kereta mewah itu yang memiliki nombor pendaftaran WTN 8850, kepada Zarina Anjoulie untuk kegunaan harian pelakon tersebut. Beliau berkata bahawa bapanya telah meninggal dunia pada 19 November 2011 tetapi Zarina tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengembalikan kereta tersebut kepada keluarga beliau.

Bagaimanapun, beliau mendakwa bahawa kereta itu telah ditarik oleh bank walaupun mempunyai rekod bayaran yang cemerlang selain terkejut mengetahui yang kereta tersebut kini mempunyai plat pendaftaran yang berbeza — BLP 8858.

Beliau berkata bahawa carian dengan Kementerian Pengangkutan tahun lalu mendedahkan bahawa bapanya telah didaftarkan sebagai pemilik sah untuk kedua dua nombor plat tersebut.

Setelah menghantar surat kepada kementerian itu melalui peguamnya untuk mendapatkan penjelasan, beliau dimaklumkan bahawa bapanya telah didaftarkan sebagai pemilik sebuah motosikal dengan nombor plat WTN 8850 dan pemilik kereta dengan nombor plat BLP 8858.

Beliau mendakwa bapanya tidak pernah bersetuju dengan mana-mana pihak untuk memohon kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor untuk menukar nombor plat pendaftaran keretanya.

Kevin juga mendakwa bapanya tidak pernah mengeluarkan surat bertarikh 28 Februari 2011 kepada bank itu dan tandatangan di atas surat itu telah dipalsukan oleh seorang kerani bernama Salleh Idris atau Zarina Anjoulie sendiri atau mana-mana pihak tanpa persetujuannya.

Beliau telah menamakan pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Kementerian Pengangkutan, Kerajaan Malaysia, Zarina Anjoulie, Salleh Idris dan Public Islamic Bank Bhd sebagai defendan dalam tuntutan mahkamah beliau.

Bercakap kepada pemberita di sini pada hari Isnin, Peguam Persekutuan Nur Aqilah Ishak berkata Hakim Mahkamah Tinggi Hue Siew Kheng telah menetapkan 7 April 2014 untuk mendengar empat permohonan .

Dalam saman yang difailkan pada 12 November tahun lepas, Kevin Shah yang merupakan pentadbir harta bapanya, memohon ganti rugi dan pengisytiharan bahawa bapanya adalah pemilik sah kepada kereta yang disebutkan dalam tuntutan. — The Star