Selepas bergelar penyanyi, rezeki usahawan sensasi Iqbal Zulkefli semakin mencurah-curah apabila ditawar sebagai pelakon pula.
Baru seminggu berada di set penggambaran, Iqbal berkata dia semakin selesa dengan bidang baru diceburinya itu dan baru tersedar mempunyai bakat dalam lakonan.
BACA: Iqbal Zulkefli Nafi Terlibat Dalam Pengubahan Wang Haram
“Selepas beberapa hari di set penggambaran, saya sedar sebenarnya punya bakat untuk berlakon. Hari pertama shooting saya hampir putus asa kerana merasakan proses penggambaran jadi lambat disebabkan saya masih baru belajar.
“Selepas beberapa hari, sudah mula rasa seronok dan saya sedar rupa-rupanya saya boleh berlakon,” katanya.
Berkongsikan pengalaman apabila terjun dalam dunia lakonan, Iqbal berkata dia semakin lebih terbuka dan senang bergaul dengan ramai orang.
“Ketika awal digandingkan dengan Zul, saya memang gementar. Dia macho sangat dan membuatkan saya tidak yakin untuk habiskan skrip.
“Berlakon tidak sama seperti dunia perniagaan. Saya jadi lebih terbuka dan dapat kenal ramai orang. Pelakon dan kru produksi lain juga mudah memberi bantuan dan tunjuk ajar.
“Saya mahu teruskan penglibatan dalam dunia lakonan untuk cabar diri sendiri. Kalau boleh mahu cuba pelbagai watak dan kalau boleh watak yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, Iqbal berkata dia juga seakan tidak percaya dia kini memegang status sebagai artis yang semakin dikenali ramai namun dia lebih selesa dianggap orang biasa.
“Artis ke saya ni? Saya sendiri tak tahu kalau betul sudah memegang status sebagai artis. Bagaimanapun saya lebih selesa dianggap seperti kebanyakan orang lain. Saya manusia biasa sahaja,” katanya.
Difahamkan, Iqbal bakal muncul dalam drama 30 episod berjudul Perempuan Itu yang turut menampilkan pelakon Zul Ariffin dan Mimi Lana.