Zahnita Wilson Diminta Buat Ujian Air Kencing, Keputusan Negatif

Bekas model Zahnita Wilson mendedahkan dia diminta melakukan ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suami semalam.

Menerusi satu temu bual bersama Sinar Harian, Zahnita berkata dia tidak tahu punca dia diminta melakukan ujian berkenaan namun bersetuju untuk melakukan prosedur tersebut dan keputusannya adalah negatif.

BACA: Zahnita Sebak Dapat Perintah Perlindungan Interim

“Saya ada perintah mahkamah dan boleh dapatkan pengiring (polis) namun proses dan permintaan tersebut tidak berjalan lancar.

“Saya diminta melakukan ujian air kencing. Jika mereka nak, tidak mengapa dan saya buat. Tiada apa yang hendak saya sorokkan dan keputusannya negatif,” katanya.

Sementara itu, Zahnita mendakwa dia berdepan halangan ketika mahu mengambil dua anak perempuannya. Menurutnya kedua-dua anaknya itu masih tinggal dengan suami kerana masih bersekolah.

“Syukur saya dapat ambil dua anak perempuan saya semalam. Saya dapat hak penjagaan interim pada 6 Disember lalu. Sebelum ini anak-anak masih bersekolah dan saya beri ruang kepada ayah mereka untuk hantar ke sekolah. Keadaan semalam tidak berjalan lancar untuk bawa anak-anak keluar. Ada halangan dari pihak sana,” kataya.

×