fbpx

Zahiril Adzim Berguru Dengan Ayah Untuk Filem Pekak

Pelakon Zahiril Adzim menjelaskan bahawa dia bakal berguru dengan ayahnya yang merupakan seorang guru di sekolah pendidikan khas bagi menjayakan watak dalam filem terbarunya yang berjudul Pekak terbitan Grand Brilliance dan arahan pengarah baru, Khairul Azri.

“Sebelum saya menjalani penggambaran sudah semestinya saya akan tengok sedikit karakter Pekak itu bagaimana cara mereka hidup dan berinteraksi dengan masyarakat. Selain itu, saya juga akan meminta bantuan dan belajar bersama ayah untuk menyelami karakter sebagai OKU (pekak) memandangkan ayah saya seorang guru di sekolah pendidikan khas,” katanya.

Dia turut memberitahu bahawa jalan cerita filem ini amat berbeza sekali kerana sebagai seorang hero dia terpaksa untuk melakonkan watak sebagai seorang yang pekak dan ini membuatkan filem ini berbeza dari filem yang pernah dilakonnya sebelum ini.

“Filem kali ini agak mencabar dan wataknya juga agak berat kerana sepanjang filem ini saya tidak ada dialog dan ini agak sukar tetapi saya akan cuba untuk memberikan persembahan yang terbaik. Lagi pun jalan cerita ini agak berbeza kerana selalunya sebagai seorang OKU karakternya akan menjadi seorang yang baik tetapi dalam filem ini agak berbeza sedikit watak dan peranannya itu,” ujarnya mengakhiri perbualan. (rtky/hfz)