Penerbit terkenal Datuk Yusof Haslam berkata dia lebih selesa menjalani kehidupan secara sederhana dan tidak bermewah-mewah meskipun bergelar jutawan.

Memetik Harian Metro, Yusof berkata dia tidak pernah berhasrat untu mengubah suai rumah agam yang dimilikinya malah tidak pernah membeli jam harga lebih RM1,000.

BACA: Yusof Haslam Derma RM380,000 Untuk Mangsa Putra Heights

“Rumah yang ada sekarang ini sudah cukup indah. Saya tidak mahu jadi seperti orang terdekat saya yang berhabis jutaan ringgit untuk ubah suai rumah serta membeli perabot baharu, tapi selepas bisnes jatuh merudum segala aset terpaksa dijual.

“Saya suka menjalani kehidupan secara sederhana saja. Jam tangan saya pun harganya kurang RM1,000. Ada yang juga bernilai RM100,” katanya.

Sementaa itu, Yusof turut berkongsikan isterinya iaitu Datin Patimah tidak pernah membeli beg tangan harga lebih RM3,000 dan dia tidak memandang pada jenama mewah.

“Kalau beg tangan pula, isteri saya tidak pernah beli lebih RM3,000. Dia pernah beli beg tangan berharga RM3,000, tapi dia minta izin saya dulu.

“Saya bukan seorang yang kedekut, cuma saya tidak memandang pada jenama mewah walaupun ada kenalan yang sanggup membeli jam tangan bernilai RM25,000,” katanya.

Dalam pada itu, Yusof berkata dia lebih seronok menggunakan wang untuk bersedekah kepada mereka yang memerlukan, malah dia pernah membantu selebriti dengan memberi bantuan bulanan.

“Saya tidak ada keinginan untuk beli kereta mewah pun sebab rasa membazir. Bagi saya, lebih baik kita bersedekah dengan duit yang ada. Saya lebih seronok.

“Kalau ikutkan rumah saya selalu ada yang datang minta dibantu. Saya beri apa yang kita mampu. Malah ada selebriti yang saya bantu kerana hidup susah dan diberi bantuan bulanan. Tak perlu lah saya beritahu siapa,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×