fbpx

Umum mengetahui, penyanyi Yasin Sulaiman kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya 24 Mac lalu.

Memetik Harian Metro, abang kepada penyanyi itu iaitu Zain Sulaiman berkongsikan Yasin berada dalam keadaan baik dan semakin positif. Menurut Zain lagi, Yasin turut menjadi imam solat limat waktu dan tarawih di penjara. Malah, Yasin turut mengajar banduan lain mengaji.

BACA: Keluarga Rayu Rawatan Untuk Yasin Sulaiman

“Minggu lepas saya dan ayah pergi melawatnya di penjara. Insya-Allah, pada hari raya ini pun nak cuba melawat lagi.

“Alhamdulillah, dia dalam keadaan baik. Dia gembira kerana dapat jumpa keluarga. Semangat dia positif. Dia tak boleh tekanan, itu yang kami risau sebab dia ada bipolar. Harap dia terus ambil ubat. Apa pun, dia stabil di sana. Dia juga beritahu, diberi layanan baik oleh banduan lain dan kakitangan di sana.

“Dia banyak lakukan aktiviti yang membuatkan dirinya sentiasa positif. Selain menjadi imam sembahyang, dia turut mengajar banduan lain mengaji. Setiap kali keluarga datang melawat, dia berkongsi perkara baik,” katanya.

Dalam pada itu, Zain berkata dia akan usahakan untuk kedua anak Yasin iaitu melawat bapa mereka dalam masa terdakat ini. Malah, dia sering memaklumkan kepada anak-anak saudaranya itu mengenai keadaan bapa mereka.

“Untuk anak Yasin dibawa melawat, insya-Allah saya akan uruskan dalam masa terdekat. Mereka tahu keadaan ayah mereka. Kami sekeluarga sentiasa mengemaskini keadaan Yasin pada mereka.

“Mereka juga sentiasa kirimkan pesanan untuk Yasin. Begitu juga Yasin, yang mana baru-baru ini sampaikan nasihat supaya anak-anak terus tabah dan berjanji akan pulang ke pangkuan mereka,” katanya.

Zain turut berkongsikan dia sudah mendapatkan khidmat pasukan guaman bagi pembelaan kes Yasin serta melancarkan Tabung Bantuan Yasin Sulaiman bagi menampung kos guaman.

“Tujuan utama kami lancarkan tabung ini adalah untuk tampung kos guaman. Kos agak tinggi sebab membabitkan tuduhan yang berat.

“Tabung ini sudah diumumkan di Facebook dua minggu lepas dan baru hari ini di Instagram. Alhamdulillah, sambutan sangat baik terutama dalam kalangan keluarga dan kawan-kawan. Mungkin selepas ini akan lebih banyak. Terima kasih atas sokongan diberikan terhadap Yasin,” katanya.