Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempunyai hak dan asas untuk menyiasat Aliff Ahmad dalam isu ‘scrut’ Nurul Izzah Anwar kerana nada dan gaya hantaran Facebook oleh pempengaruh itu mungkin melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hal ini kerana Seksyen 233 melarang orang ramai mengguna Internet untuk mengganggu, mengaib, mengugut atau menyebar perkara jelik yang menyakitkan hati.
Peguam, Muhammad Aidil Akmal Sharidan berkata, hantaran berkenaan boleh jadi ada unsur ‘mengganggu’ atau ‘jelik’ kalau cara pelakunya seperti hendak memburukkan seseorang tanpa asas kukuh.
Beliau berkata dalam hantaran itu, Aliff menyatakan dia akan mendedahkan dari mana Nurul Izzah mendapat duit, apa perniagaannya dan lain-lain jika mendapat 20,000 perkongsian.
Tegasnya, perkara itu boleh dianggap seperti ugutan halus: “Kalau ramai cukup share, aku akan buka aib dia.”
Muhammad Aidil Akmal juga tidak menolak yang rakyat berhak bertanya tetapi terdapat perbezaan antara bertanya dengan membayangkan sesuatu yang belum tentu sah, apatah lagi jika dibuat secara terbuka dan beramai-ramai.

Muhammad Aidil Akmal Sharidan
“Bukankah Nurul Izzah tu public figure, patut boleh disoal? Boleh. Tapi kalau nak soal, soal dengan adab. Kalau ada bukti, buat laporan.
“Tapi kalau kau bawa ke media sosial, tanpa bukti, dengan gaya provokatif; itu dah masuk kategori gangguan atau cuba jatuhkan reputasi.
“Kalau salah, biarlah agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat.
“Jangan ajak orang ramai share posting supaya tekanan makin tinggi. Itu bukan soal siasat, itu public shaming,” katanya dalam hantaran Facebok.
Isnin lalu, Aliff dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya.
Sementara itu, Muhammad Aidil Akmal menegaskan siasatan MCMC bukan berkaitan politik tetapi berkaitan hak bersuara yang datang bersama tanggungjawab.
“Kalau cara kita bersuara itu boleh jejaskan orang lain tanpa bukti, atau sekadar nak naikkan engagement, maka pihak berkuasa memang ada hak nak siasat.
“MCMC tak boleh tunggu benda dah meletup baru nak bertindak,” katanya.
Berkenaan tindakan Aliff yang membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa dia bertanggungjawab dengan hantaran itu, Muhammad Aidil Akmal menjelaskan perkara itu tidak mencukupi kerana SD cuma pengakuan, bukannya bukti penuh.
Jelasnya, pihak berkuasa masih perlu mencari bukti lain contohnya mesej, sumber maklumat dan konteks penuh.
“Macam kes lain juga, tak cukup kau kata “aku buat”, polis tetap kena siasat sebelum dakwa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan isu ‘scrut’ Nurul Izzah bukannya berkaitan 3R (kaum, agama dan raja) namun terdapat siasatan lain berkenaan perkara itu.
“MCMC tak siasat Aliff bawah alasan 3R untuk kes Nurul Izzah ini.
“Isu 3R memang ada dalam siasatan lain, tapi bukan yang ini. Jangan campur aduk,” katanya.