Kejayaan luar biasa Malaysia yang melonjak 11 anak tangga dalam laporan Penarafan Daya Saing Dunia atau World Competitiveness Ranking (WCR) 2025 mencerminkan pemulihan ekonomi negara yang semakin kukuh dan berada pada landasan betul.
Pakar ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peningkatan mendadak daripada kedudukan ke-34 tahun lalu kepada tangga ke-23 daripada 69 ekonomi adalah sesuatu yang jarang berlaku.
Katanya, ia menjadi petunjuk bahawa pendekatan kerajaan dalam menangani isu ekonomi mula menunjukkan hasil yang positif.
“Tahun lalu Malaysia jatuh tujuh anak tangga, tetapi kini bukan sahaja pulih, malah lebih baik dari sebelumnya.
“Kenaikan ini hasil gabungan dasar fiskal berhati-hati, subsidi tersasar dan keyakinan pelabur asing,” katanya dalam kenyataan.

Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai
Mengulas lanjut, Dr Barjoyai berkata langkah kerajaan yang membuat penyelarasan subsidi juga mula memberi kesan positif kepada struktur ekonomi negara sehingga kedudukan Malaysia dalam WCR 2025 meningkat ketara.
Katanya, kejayaan itu menunjukkan usaha kerajaan dalam menambah baik tatakelola fiskal sedang membuahkan hasil.
Pun begitu katanya, rakyat belum dapat merasai sepenuhnya kesan positif itu walaupun berlaku peningkatan ekonomi yang ketara.
“Namun dalam jangka masa sederhana, rakyat dijangka melihat kesan melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
“Kedudukan baharu Malaysia juga akan merangsang pasaran kerja dan ekonomi domestik,” jelasnya.
Malah tambah beliau, gaji sektor swasta dijangka meningkat selari dengan prestasi ekonomi dan pertumbuhan keyakinan pasaran.
Semalam, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz sewaktu mengumumkan pencapaian Malaysia itu berkata kedudukan tahun ini merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.
Katanya, ia mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi Malaysia dan usaha pembaharuan yang berterusan serta mengukuhkan hala tuju negara untuk berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing sebelum 2033.
“Ia adalah seperti yang disasarkan oleh Kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
Sementara itu, dasar ekonomi yang teguh dan kepemimpinan Malaysia yang jelas terus menarik minat pelabur antarabangsa apabila Shell menyatakan akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan bersama delegasi, semalam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan Wael Sawan dan delegasi Shell.
Perdana Menteri berkata, beliau memanfaatkan kesempatan itu untuk berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi generasi mendatang.
Katanya, Shell bukan sekadar nama besar dalam dunia tenaga, tetapi telah menjadi rakan pelaburan utama negara dan sebahagian daripada perjalanan ekonomi Malaysia sejak sekian lama.
“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara.
“Justeru, beliau memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang bakal mencipta peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang teguh dan kepimpinan yang jelas. Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing,” katanya di Facebook.