fbpx

Walaupun Kontroversi, Hattan Tak Menang Tangan Terima Tawaran Menyanyi

Meskipun terpalit dengan kontroversi dengan pembaca berita bulan lalu, penyanyi Datuk Hattan berkata ianya tidak menjejaskan aktiviti seninya.

Memetik Harian Metro, Hattan berkata semuanya berjalan seperti biasa malah tidak putus-putus menerima tawaran persembahan.

BACA: “Hattan Pernah Pergi Haji, Ada Gelaran Datuk, Patut Kawal Cara Percakapan” – Saari Amri

“Alhamdulillah, saya tak menang tangan ditawarkan menyanyi di sana sini. Ada satu syarikat ambil saya menyanyi untuk lima ‘show’ anjuran mereka di seluruh negara. Sudah semestinya saya menyanyi dengan iringan pemuzik pengiring,” katanya.

Sementara itu, Hattan menafikan dakwaan Konsert ‘Sifu & Aku 38’ besama Datuk M. Nasir dibatalkan kerana penjualan tiket tidak laku.

Menurutnya, ia tiada kaitan langsung dengan kontroversi tersebut sebaliknya terpaksa ditunda atas beberapa faktor, antaranya kematian kakitangan Luncai Emas milik M. Nasir.

“Yang kendalikan urusan di sana ialah Allahyarham Sham Amir Hussain. Arwah bawa masuk banyak penaja untuk konsert ini.

“Jadi, buat masa ini konsert terpaksa ditunda untuk sementara waktu. Saya diberitahu tiket berharga RM1,000 dan RM188 untuk konsert di Sabah habis dijual.

“Persediaan untuk show pun dah dibuat tanpa masalah. Kami semua dah dibayar sekitar 60 peratus. Ia mungkin akan berlangsung sekitar Ogos nanti.  Kami akan buat sidang media khas untuk perkembangan lanjut nanti,” katanya.

Difahamkan, konsert itu sepatutnya berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 25 Mei ini dan seterusnya Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 1 Jun depan.