Ustaz Abu Syafiq Nafi Sindir Ustaz Ebit Lew

Sejak penularan wabak COVID-19 di Malaysia, pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew tidak berhenti menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada petugas barisan hadapan serta mereka yang memerlukan.

Bagaimanapun, bantuannya kepada sebuah keluarga baru-baru ini menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak apabila seorang pendakwah Ustaz Abu Syafiq didakwa memuat naik status seakan kurang bersetuju dengan apa yang dilakukan Ustaz Ebit Lew.

BACA: “Bidadari Peluk Saya Kata Jangan Sedih, Allah Kan Ada”

Dakwanya, berkongsikan gambar dan video orang miskin yang susah adalah perbuatan haram kerana dikhuatiri boleh mengaibkan mereka.

Meskipun tidak menyatakan status itu ditujukan kepada siapa, namun netizen membuat andaian bahawa kenyataan berkenaan ditujukan kepada Ustaz Ebit Lew. Susulan itu, rata-rata netizen bertindak mengecam Ustaz Abu Syafiq.

Tidak mahu perkara itu terus berpanjangan, Ustaz Abu Syafiq tampil memberi penjelasan sebenar mengenai perkara itu menerusi Facebook Live.

Menurutnya, status tersebut sebenarnya merujuk kepada fatwa ulama Mesir yang mengharamkan tayangan gambar atau video orang miskin yang diberi bantuan kerana bimbang akan memalukan mereka.

Ustaz Abu Syafiq turut menafikan status itu ditujukan kepada Ustaz Ebit kerana dia langsung tidak tahu menahu mengenai pendakwah berbangsa Cina itu serta derma atau bantuan yang dihulurkan.

“Kenyataan saya itu adalah berdasarkan pertubuhan di negara luar dan kesannya ada berlaku di negara kita di Malaysia. Derma itu tidak disalurkan dengan betul.

“Saya tak tahu langsung mengenai ustaz itu. Bukan dituju kepada ‘dia’. Saya tak tahu langsung. Demi Allah saya tak tahu ustaz yang dimaksudkan menayangkan gambar-gambar dan video tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, sebagai umat Islam harus menutup aib sebagaimana Allah menutup aib kita semua. Apa pun Ustaz Abu Syafiq pun sudah jelaskan salah faham tersebut. Diharap tidak lagi timbul isu seperti ini kerana di saat-saat genting ini umat Islam perlu bersatu.

×