Enam strategi Kerajaan MADANI bagi menangani kesan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) merupakan pendekatan komprehensif yang mencerminkan keprihatinan terhadap kelangsungan ekonomi negara khususnya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Mohd. Azamanizam Baharon berkata, strategi itu bersifat reaktif dan menunjukkan kecekapan kerajaan dalam menangani tekanan luar.

Pun begitu katanya, PERDASAMA berpandangan strategi itu boleh diperkukuh melalui penglibatan lebih aktif sektor industri dan persatuan perdagangan dalam penggubalan dasar.

Tegasnya, mekanisme pemantauan dan pelaporan berkala terhadap keberkesanan strategi juga perlu dilaksanakan dan pendekatannya mesti lebih inklusif bagi mengelakkan hanya syarikat besar mendapat manfaat.

“PERDASAMA ingin menekankan sebarang strategi untuk menangani impak tarif perlu meletakkan PKS sebagai penerima manfaat utama.

“Bukan sahaja kerana mereka merupakan penyumbang besar kepada ekonomi negara, tetapi juga kerana mereka merupakan kelompok paling terkesan dengan tekanan luaran seperti tarif perdagangan antarabangsa,” katanya kepada Rotikaya.

Mohd. Azamanizam Baharon/ KREDIT GAMBAR BERNAMA



Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Parlimen mengumumkan enam strategi kerajaan bagi menangani kesan tarif timbal balik AS bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka pendek serta sederhana.

Ia merangkumi pemantauan petunjuk utama ekonomi, usaha rundingan berterusan, membantu pengeksport terjejas terutama PKS dan menggalakkan kerjasama serantau dan pasaran baharu.

Tidak ketinggalan ialah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan serta kelulusan kerajaan dan meneruskan agenda pembaharuan ekonomi MADANI.

 

Mengulas lanjut Mohd. Azamanizam berkata, berdasarkan maklum balas daripada 27,000 ahli PERDASAMA, antara bentuk sokongan yang sangat diperlukan PKS ialah geran bersasar dan insentif cukai untuk membantu menampung kos kenaikan bahan mentah dan pengeluaran akibat tarif.

Untuk itu, skim jaminan pinjaman khas dengan kadar faedah rendah bagi membolehkan PKS menyusun semula operasi atau beralih ke pasaran alternatif wajar diperkenalkan, tegasnya.

Katanya, PKS juga memerlukan khidmat nasihat teknikal dan kepakaran perdagangan antarabangsa yang mampu membimbing penggiatnya merancang strategi eksport secara profesional.

“Begitu juga dengan pelaburan dalam automasi dan digitalisasi melalui bantuan kerajaan, bagi membolehkan pengusaha mikro dan kecil meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam pasaran eksport.

“Di samping itu, PKS memerlukan akses pasaran melalui platform e-dagang antarabangsa yang diselaraskan oleh agensi kerajaan seperti MATRADE, MIDA dan SME Corp.

“PERDASAMA juga menegaskan bahawa tindakan mengenakan tarif oleh AS bukan sekadar isu ekonomi, tetapi juga satu bentuk cabaran geopolitik. Justeru, peranan kerajaan sebagai pelindung kepada industri domestik perlu disokong dengan tindakan konkrit, pantas dan mesra PKS,” katanya.

PERDASAMA menyifatkan enam strategi menangani tarif timbal balik yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Isnin sebagai bukti kecekapan kerajaan.



Berkenaan penerokaan pasaran baharu, Mohd. Azamanizam berkata PERDASAMA berpendapat usaha itu perlu dipercepatkan.

Namun tegasnya, berdasarkan realiti tidak semua PKS bersedia daripada segi sumber, kapasiti dan kepakaran untuk menembusi pasaran luar.

Oleh itu jelasnya, kerajaan perlu menyediakan insentif khas untuk PKS yang mengeksport buat kali pertama dan menyusun semula misi dagangan secara lebih inklusif membabitkan PKS dari pelbagai negeri dan sektor.

Katanya, kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 merupakan peluang yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuka laluan perdagangan intra-ASEAN yang lebih mesra PKS.

“Kita perlu menjalin kerjasama lebih aktif dengan negara-negara OIC memandangkan Malaysia mempunyai reputasi kukuh dalam sektor halal dan produk mesra syariah.

“PERDASAMA sendiri komited membantu anggotanya menembusi pasaran seperti Indonesia, Vietnam, UAE, dan Afrika Utara melalui kerjasama dengan agensi luar negara dan penyertaan dalam ekspo perdagangan,” katanya.

×