Pelakon Pekin Ibrahim tampil mempertahankan rakan baiknya, Fattah Amin serta menyifatkan dakwaan curang oleh Nur Fazura terhadap bekas suaminya itu adalah tuduhan berat.

Menerusi perkongsian di Facebook, Pekin berkata sepanjang di set penggambaran Fattah tidak pernah menyebut tentang wanita lain mahupun ‘gatal’.

BACA: “Kalau Dia Nak Teruskan Fitnah, Tanggunglah Dosa” 

“Kami menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama. Tidak sekali pun saya nampak Fattah gatal atau bercerita hal wanita.

“Sampai waktu solat, dia hanya minta rehat untuk tunaikan kewajipan. Sebagai kawan aku rasa tuduhan itu berat buat beliau,” tulisnya.

Menurut Pekin, kektika bersama-sama mengikuti pengajian jarak jauh (PJJ) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Fattah sering meluahkan rasa rindu kepada isteri dan anaknya, Nur Fatima.

“Sepanjang luangkan masa bersama, tidak sekali pun dia menunjukkan masalah pada wajahnya. Dia tidak sekalipun bercerita hal peribadi, hanya rindu anak dan isteri sahaja terkeluar dari mulut beliau. Jauh sekali tuduhan dia ada wanita lain,” katanya.

Dalam pada itu, Pekin turut memuji Fattah yang tetap tenang dan profesional ketika bekerja serta mendoakan agar sahabatnya itu tabah memghadapi ujian.

“Apa yang mampu, kita doa supaya beliau tabah dan kuat. Sedih dengar hal-hal cerai begini. Minta dijauhkan,” katanya. 

×