Syarikal pembekal tudung, Obor Holding Sdn Bhd mengesahkan bahawa mereka mengalami masalah kewangan selepas syarikat milik pelakon, Nur Fazura gagal menyelesaikan hutang sebanyak RM4.65 juta.

Memetik Utusan, pengarah urusan Obor Holding iaitu Lim Boon Hai berkata pihak mereka telah memfailkan tuntutan terhadap Pink Fate dan Fazfit Sdn Bhd bulan lepas namun syarikat milik pelakon itu tiada sebarang balas diberikan.

BACA: Kilang Tudung Dakwa Syarikat Tudung Fazura Berhutang RM4.65 Juta

“Kami sudah failkan kes ini di mahkamah bulan lalu selepas gagal mendapat respons yang baik daripada syarikat milik Fazura. Kami tidak menafikan sukar untuk menuntut hutang sejak penghujung 2023. Sejak tuntutan difailkan, tiada sebarang balasan daripada syarikat mereka kami terima sehingga kini.

“Kali terakhir kami berkomunikasi dengan Fazura dan pengurusan syarikat itu adalah pada penghujung 2024 namun mereka nampaknya memang tiada niat untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sementara itu, Lim turut kesal apabila syarikat itu hanya memberikan janji kosong serta mereka menerima cek tendang pada September 2024.

“Saya tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku sehingga mereka tidak mampu melunaskan hutang sehingga kini. Apa yang kami terima hanya janji kosong konon mahu bayar namun yang kami dapat hanya cek tendang.

“Syarikat kami mengalami situasi kewangan yang serius gara-gara itu membuatkan kami terpaksa mengambil langkah lain untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata dia tidak sangka perkara ini berlaku selepas bekerjasama dengan pelakon popular itu serta berharap orang lain boleh mengambil pengajaran di atas apa berlaku.

“Tidak sangka semua ini terjadi, saya tidak kedepan jika dakwaan tidak benar. Tidak sangka orang popular sepertinya buat kami tertunggu-tunggu untuk mendapatkan hak kami. Saya harap orang luar di luar sana boleh mengambil pelajaran, jangan menjadi mangsa seperti kami,” katanya.

SUMBER: Utusan Online

×