Tak Beli Undi, Khai Bahar Menang Atas Kasih Sayang Peminat

Dinobat sebagai Top Top MeleTOP Lelaki pada Anugerah MeleTOP Era 2021 (AME2021), penyanyi Khai Bahar berkata dia tidak terlibat dalam aktivit pengundian kelab peminatnya.

Memetik Harian Metro, Khai berkata kemenangannya itu adalah hasil usaha dan kesungguhan kelab peminatnya, Khai Bahar Empire.

BACA: Shiha Zikir, Khai Bahar Bolot Anugerah MeleTOP ERA 2021

“Saya memang tak pernah suruh mereka (Khai Bahar Empire) agar terus menghantar undian buat saya sehingga menang dalam apa saja majlis anugerah dicalonkan. Semuanya hasil daripada kesungguhan mereka sendiri yang sentiasa mahu melihat saya menang. Terima kasih diucapkan pada mereka.

“Saya pun tidak sangka mendapat sokongan padu yang sebesar ini daripada kelab peminat yang sentiasa bersungguh menyokong kerjaya seni saya sejak dari dulu lagi. Di antara kami, sangat saling menyayangi dan menghargai,” katanya.

Dalam pada itu, Khai berkata dia rajin melayan kelab peminatnya dengan menghiburkan mereka menerusi permintaan lagu serta menyanyikan secara percuma.

“Saya juga tidak pernah menghulur dana kepada kelab peminat untuk mereka membeli undian. Kemenangan yang saya peroleh ini telus dan ikhlas daripada undian mereka kerana sayang dan terus menyokong saya.

“Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Khai Bahar Empire di atas kasih sayang diberikan. Terima kasih juga kerana selalu menyokong kerjaya saya tanpa jemu,” katanya.

Malam tadi, Khai juga memenangi dua lagi trofi lain iaitu dua kategori Penyanyi MeleTOP dan Program MeleTOP: Konsert Minggu Ini #123 – Khai Bahar.

 

×