Penyanyi Datuk Syafinaz Selamat berkata dia sudah ‘survey’ rumah orang tua dan sudah terfikir tenang sisa usia yang barangkali akan dihabiskan di sana.

Memetik HibGlam, Syafinaz yang baru saja meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-52 berkata rumah penjagaan orang tua sekarang bukan lagi seperti dulu.

BACA: Sedap Mata Memandang, Lelaki Yang Menyenangkan Ciri Suami Syafinaz

“Saya terfikir dan telah ‘survey’ rumah orang tua yang mungkin saya boleh masuk satu hari nanti. Sebab rumah orang tua zaman sekarang ‘best’. Bukan macam kita tengok dulu-dulu. Jadi, saya tidak menidakkan kemungkinan yang saya akan masuk rumah orang tua satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya kenapa tidak mencari teman hidup, Syafinaz berkata perkahwinan mungkin akan membuatnya bertambah pening kepala.

“Ramai orang asyik bertanyakan soal jodoh sejak hari pertama saya bergelar penyanyi sehinggalah hari ini. Tetapi saya nak kongsikan satu kisah yang saya tak pernah ceritakan kepada sesiapa pun. Allahyarham Datuk Sharifah Aini pernah beritahu saya, tak payah kahwinlah.

“Katanya, jika saya berniat untuk berkahwin, saya patut berkahwin dengan seseorang dari negara Barat, kalau tidak, tak payah kahwin katanya,” katanya.

Bagaimanapun, Syafinaz berkata dia tidak menganggap kata-kata biduanita itu sebagai sesuatu yang harus diambil serius kerana baginya jodoh dan maut adalah ketentuan tuhan.

“Jodoh di tangan tuhan. Kalau Dia kata tak ada, maka tiada tetapi kalau Dia kata ada, saya terima. Buat masa ini, berkahwin bukanlah keutamaan dalam hidup saya.

“Kalau ada lelaki yang sesuai dan senang mata memandang, saya okey, tiada masalah. Yang penting dia perlu faham saya dan tidak meletakkan limitasi tentang apa yang saya mahu lakukan dalam hidup,” katanya.

SUMBER: HibGlam

×