Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata dia tetap merasa segan dengan gelaran biduanita negara meskipun layak menerima pengiktirafan berkenaan.
Memetik Oh Bulan, Siti berkata beliau tetap Siti yang sama dan mahu disapa dengan panggilan nama sahaja serta menganggap dirinya masih lagi seperti insan biasa.
BACA: Siti Nurhaliza Tak Berkelip Mata Tengok Kulit Kim Soo Hyun Seperti Bayi
“Segan sebenarnya dengan gelaran biduanita, panggil sahaja Siti macam biasa. Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu rumahtangga.
“Dalam masa sama, saya juga masih menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Siti meluahkan rasa syukur dan tidak pernah terlintas diberikan pengiktirafan tersebut sebaliknya hanya berusaha sebaik mungkin sepanjang bergelar anak seni.
“Bagi saya anugerah akan datang dengan sendirinya apabila kita bekerja keras. Bukan tidak menghargai watikah diberikan, saya bersyukur dan ini satu penghormatan yang besar.
“Tak terlintas pun akan diberikan pengiktirafan sebesar ini kerana saya lebih utamakan kepuasan peminat, hati saya senang jika melihat peminat berpuas hati dan terhibur,” katanya.
SUMBER: Oh Bulan