fbpx

“Sebelum Larikan Diri, Saya Peluk Anak-Anak Bagi Tahu Terpaksa Pergi”

Menerusi temubual bersama pelawak Harith Iskander baru-baru ini, usahawan sensasi, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman berkongsi detik pilu apabila terpaksa berpisah dengan dua anak angkatnya.

Menurut Sajat, dia terpaksa meninggalkan segalanya termasuk perniagaan dan keluarga kerana mendakwa dirinya tidak lagi selamat berada di Malaysia.

BACA: Sajat Akhirnya Mengaku Transgender

“Saya terpaksa meninggalkan anak saya, perniagaan saya, perniagaan yang saya usahakan, saya tak boleh berfikir. Saya hanya fikir sekarang saya perlu selamatkan diri saya, sebab itulah saya melarikan diri, itulah keputusan diri saya.

“Memang perit untuk saya, sebelum lari saya peluk anak-anak saya dan beritahu saya terpaksa pergi sebab bukan dalam keadaan selamat di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Sajat berkata dia membuat keputusan untuk melarikan diri selepas menerima tekanan dari pihak-pihak tertentu hingga menyebabkannya mengalami kemurungan.

“Orang tak faham apa saya lalui, kalau betul saya dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun mereka akan letakkan saya dalam penjara lelaki.

“Saya yang dah transwomen semuanya dah berubah mesti la saya rasa tak selamat berada dalam penjara. Saya alami kemurungan hingga terpaksa ambil ubat dan mengikuti rawatan mental,” katanya.

Terdahulu, Sajat membuat pengakuan berani dirinya seorang transgender. Sajat memaklumkan dia berada di Australia sejak 18 Oktober lalu dan nekad untuk memulakan kehidupan baru di sana sebagai ‘transwoman’.