fbpx

“Hanya Salah Faham, Mungkin Faktor Emosi Orang Mengandung”

Sejak semalam, hangat diperkatakan mengenai Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan apabila isterinya, Hana Azraa mendakwa kononnya suaminya bermain kayu tiga serta turut mendedahkan foto seorang wanita yang dikatakan skandal baru suaminya.

Bagaimanapun, PU Abu menafikan tuduhan isterinya serta menjelaskan perkara yang disebarkan Hana itu adalah spekulasi semata-mata. Malah, Abu menyifatkan isterinya bertindak sedemikian mungkin kerana emosi ketika hamil.

BACA: Hana Azraa Dedah Foto Skandal, PU Abu Curang Lagi?

“Saya mengambil maklum berhubung berita yang viral semalam membabitkan diri dan isteri saya. Apa yang viral itu adalah spekulasi semata-mata dan tidak berdasarkan kenyataan yang sebenar.

“Hakikat yang sebenarnya ialah hal yang melibatkan kecurangan tidak berlaku dan hanyalah salah faham, mungkin faktor emosi orang mengandung,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu menerusi Instagram, PU Abu menjelaskan dia tidak mengetahui sumber gambar wanita yang dimuat naik oleh isterinya itu dan akan menjelaskan situasi sebenar selepas pulang daripada Tanah Suci.

“Gambar yang tersebar tidak dapat dipastikan sumbernya kerana ia lebih bersifat cuba mengaibkan seseorang. Saya kini berada dan bertugas di Makkah dan akan balik ke Malaysia dalam sehari dua ini.

“InsyaAllah, saya akan mengeluarkan kenyataan yang akan menjelaskan situasi sebenar berhubung berita viral tersebut,” katanya.