“Saya Rasa Seronok Juga, Rupanya Suami Masih Sayang Saya”

Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui lega apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli tidak melafazkan talak dalam sebutan pertama kes perceraian mereka yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pagi tadi.

Memetik Utusan, Nora tahu suaminya masih sayangkan dirinya serta memerlukan ruang berfikir usaha untuk mempertahankan rumah tangganya jika tidak berlaku perceraian.

BACA: Nora Ariffin Nekad Fail Cerai Isnin Ini

“Apa yang difahamkan, Dr. Rushdi menolak untuk perceraian ini. Saya mohon ruang untuk melalui semua ini dan perlu fikir kalau teruskan adakah saya perlu melalui situasi yang sama lagi.

“Saya berasa seronok juga sebab rupa-rupanya dia masih sayang pada saya. Tetapi kena fikir langkah seterusnya macam mana. Kami tidak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia. Sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah,” katanya.

Sementara itu, Nora menafikan mahu mencipta drama sebaliknya dia memfailkan cerai kerana sudah pernah berdepan dengan kemelut rumah tangganya.

“Saya bukan mahu cipta situasi atau drama. Saya tidak perlukan semua itu kerana saya hanya mahu bersihkan nama saya. Tindakan saya fail cerai pun kerana sudah terlalu penat melalui semua ini. Memang boleh bertahan tetapi sampai bila?

“Saya sudah buat apa yang patut dilakukan. Hari ini pun keputusan dia yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Walaubagaimanapun, sebagai isteri saya perlu hormat dan berbincang selepas ini,” katanya.

SUMBER: Utusan

×