Pelakon veteran Harun Hashim mengakui hidupnya sunyi selepas pemergian isteri tercinta, Sakinah Ganjali pada November tahun lalu akibat kanser payudara tahap empat.

Memetik Harian Metro, Harun berkata dia tidak pernah lupa menziarahi pusara isterinya walaupun sehari dan sehingga kini dia masih menangis lagi terkenangkan arwah isteri tercinta.

“Saya rasa kosong dan sunyi. Saya kini patah sebelah kaki. Selama ini dia menemani saya ke mana saja. Dialah yang jaga jadual kerja termasuklah tolong tengokkan arah jalan. Sampai sekarang saya masih lagi menangis. Tiada siapa yang tahu kesedihan yang saya tanggung,” katanya.

Sementara itu, apabila ditanya adakah dia berhasrat untuk mencari pengganti, Harun belum terfikir mencari pasangan hidup memandangkan usianya tidak lagi muda namun timbul kebimbangan tinggal sendirian.

“Saya tak berani nak cakap kerana takut dikatakan tak sedar diri dengan usia begini. Saya juga takut orang kata kalau kahwin hari ini, esok lusa saya pula mati.

“Jujurnya bila tinggal sendirian, ada kebimbangan akan mati sendirian. Saya paling takut orang jumpa saya dalam keadaan sudah berulat,” katanya.

Dalam pada itu, Harun berkata dia tidak boleh menerima semua tawaran berlakon memandangkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan serta berdepan masalah penglihatan. Tambahnya lagi, bayaran diterima untuk satu tawaran cukup menampung hidupnya selama setengah tahun.

“Saya ada masalah darah tinggi, kencing manis dan kolestrol. Alhamdullilah setakat ini tawaran sentiasa ada, tapi tak semua yang saya terima. Saya hanya terima mana yang perlu, dapat satu ‘job’ pun dah cukup untuk menampung hidup selama enam bulan.

“Lagipun saya susah nak bergerak dengan penglihatan yang terhad, biasanya produksi yang akan hantar dan jemput ke lokasi,” katanya.

SUMBER: Harian Metro

×