Pelakon Azhan Rani berkata dia sudah lama tidak berbaju Melayu ketika menyambut raya sejak pemergian bapa tercinta pada 2016.
Menerusi satu podcast, pelakon berusia 49 tahun itu berkata dia akan terkenang arwah bapanya setiap kali menyambut Aidilfitri sehingga tidak sanggup memakai baju Melayu.
BACA: Usia Cecah 50 Tahun, Azhan Rani Belum Sedia Kahwin
“Sebelum ini saya seronok menyambut hari raya dan sayalah yang akan pastikan semua pakai baju raya sedondon.
“Tapi lepas tahun 2016 selepas pemergian arwah abah, saya cuma pakai baju T di pagi raya sebab nak pakai baju melayu pun tak sanggup.
“Saya rasa dah lama tak pakai baju Melayu di pagi raya. Kalau pakai pun hanya dalam drama lakonan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Azhan berkata dia juga sudah hilang rasa seronok untuk menyambut hari raya selepas bapanya tiada kerana terkenangkan arwah.
“Saya bahkan tiada ‘mood’ untuk pergi beraya kecuali kalau ibu saya mahu berjumpa saudara atau rakan-rakannya. Namun, untuk saya pergi beraya rumah orang itu, tidaklah.
“Sebab saya masih lagi macam terkenangkan arwah abah. Bukanlah tidak reda, tetapi saya akan lebih terkesan kalau pergi beraya. Saya jadi teringat arwah,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan mengakui cemburu melihat mereka yang masih lagi berpeluang untuk berbakti kepada bapa kerana banyak perkara dia tidak sempat dilakukan.
“Bila dah tak dapat salam tangan orang tua yang selama ini menjaga kita, ia merupakan satu kehilangan yang besar. Saya selalu cemburu pada orang yang masih ada bapa, yang boleh pimpin bapa mereka ke sini dan ke sana.
“Pada saya, banyak benda yang saya patut buat pada dia yang saya tak dapat buat. Tapi sekarang ini saya masih ada mak, ini sajalah yang saya ada,” katanya.