Hangat diperkatakan mengenai dakwaan hutang syarikat dengan pembekal tudung, pelakon dan usahawan Nur Fazura memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
Memetik Oh Bulan, Fazura berkata dia tidak boleh mengulas kerana baginya ia bersifat sulit dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak peguam.
BACA: Fazura Ucap Terima Kasih Kepada Peminat Pakai Tudung Jenamanya
“Saya rasa, tak perlu saya jelaskan lebih-lebih. Sebab kalau pun saya jelaskan, belum tentu orang akan faham. Jadi, cukup sekadar memahami bahawa saya adalah diri saya, dan syarikat itu entiti berasingan.
“Sama ada melibatkan hutang atau apa pun, saya tak boleh kongsikan sebab perkara itu bersifat sulit dan telah pun diserahkan kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya.
“Sebenarnya, banyak pihak di luar sana membuat spekulasi, dan mungkin juga ada yang menabur fitnah di merata tempat,” katanya.
Sementara itu, Fazura berkata isu tersebut sudah pasti memberi kesan terhadap nama baiknya namun dia percaya semua usahawan di luar sana memahami caraban dalam perniagaan.
“Lapan bulan kebelakangan ini, macam-macam yang saya lalui. Jadi, kalau ditanya sama ada saya terkesan, sudah tentu sedikit sebanyak saya rasa juga. Saya pun manusia biasa yang ada perasaan. Tapi saya faham, itu adalah perkara biasa dalam dunia perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura berkata dia memilih untuk tidak membaca komen-komen negatif dan fokusnya kini pada kerjaya, perniagaan serta anaknya.
“Saya memang menjaga kesihatan mental saya. Saya nak hidup dengan tenang. Saya nak gembira, dan saya nak terus fokus kepada kerjaya, perniagaan dan membesarkan anak saya,” katanya.
SUMBER: Oh Bulan