Saling Memahami Rahsia Kebahagiaan Ashraf Sinclair & Bunga Citra Lestari

Pasangan bahagia dari Indonesia, Bunga Citra Lestari dan Ashraf Sinclair telah berkongsi serba sedikit mengenai rahsia kekal bahagia rumah tangga mereka yang kini telah mencecah usia 6 tahun perkahwinannya.

“Rahsia hubungan kami ialah memahami antara satu sama lain. Daripada awal sebelum kami berkahwin kami ada mengatakan bahawa kami berdua akan selalu perbaiki hubungan yang sedia ada ini sebelum dan juga selepas berkahwin,” kata Ashraf sambil tersenyum.

Tambahnya lagi, sekiranya ada apa-apa yang berlaku mereka akan berbincang terlebih dahulu sebelum mempercayai kata-kata orang lain dan sesibuk mana sekalipun mereka dalam urusan pekerjaan, mereka akan tetap cuba untuk meluangkan masa bersama.

“Saya akan berbincang terlebih dahulu sebelum mempercayai kata-kata orang lain dan cuba untuk menyelesaikan perkara tersebut bersama isteri. Selain itu, kami juga akan menetapkan masa untuk bersama-sama bersiar, makan dan yang lain-lain. Sesibuk bagaimana sekali pun, kita akan cuba untuk meluangkan masa bersama,” ujarnya.

Pasangan tersebut juga telah dikurniakan seorang anak yang kini telah mencecah usia 4 tahun dan bagi mereka berdua tidak salah sekiranya anak mereka itu meminati dunia seni.

“Anak kami, Noah semakin besar dan kadang-kala saya dan Bunga membawa dia ke lokasi penggambaran dari situ dia melihat kami bekerja dan dia tidak ada masalah malah dia dan Bunga telah ditawarkan berlakon iklan di TV Indonesia”

“Kalau dia mahu untuk berkecimpung dalam dunia seni, rasanya tidak ada masalah terpulang pada dia,” ujarnya mengakhiri perbualan. Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari ditemui semasa sidang media produk mandian Lux terbaru di Hotel Sunway. (rtly/hfz)

×