Bekas anggota kumpulan One Nation Emcees, Jojo atau nama sebenar, Nur Hasan Balas meninggal dunia selepas rebah di Masjid Sri Petaling pagi tadi.
Memetik BH Online, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut kerana masih menunggu keputusan bedah siasat ke atas jenazah Allahyarham.
“Arwah berada di Masjid Sri Petaling sebab ada perjumpaan bersama kumpulan tabligh. Ketika majlis itu hendak habis dan hadirin sedang berdoa, dia rebah.
“Sekarang jenazah sedang diuruskan. Saya belum tahu di mana jenazah hendak dikebumikan. Saya masih menunggu maklumat,” katanya.
Sementara itu, Mimi berkata Allahyarham Jojo pernah berpesan kepada isterinya untuk dikebumikan di tanah perkuburan di lokasi dia menghembuskan nafas terakhir. Mimi berkongsikan Allahyarham Jojo pernah diserang angin ahmar.
“Saya baru hubungi isterinya. Beliau beritahu arwah minta kebumikan di mana tempat dia meninggal dunia. Jadi, masih tunggu lagi di mana tempat arwah akan disemadikan,” katanya.
SUMBER: BH Online