Sudah empat tahun bergelar ibu tunggal, balu kepada Allahyarham Abam Bocey iaitu Nor Hidayah mendedahkan ramai lelaki menghantar mesej kepadanya di sosial media untuk berkenalan.
Memetik Kosmo, bagaimanapun Hidayah berkata dia tidak berminat kerana fokus utamanya ketika ini adalah untuk membesarkan putera kesayangannya, Syed Uthman Hamzah dan perniagaannya.
BACA: Hidayah Setuju Ketepi Faedah Empat Peratus Terhadap Ali Puteh
“Sejujurnya memang ramai lelaki cuba mendekati saya, kebanyakan daripada mereka mengambil pendekatan DM saya dalam Instagram.
“Ada juga yang datang terus ke kedai membawa niat ingin berkenalan tetapi saya tidak layan, begitu juga dalam media sosial.
“Saya tidak berminat, biarlah sekarang saya fokus membesarkan Hamzah dan menguruskan bisnes terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, Hidayah berkata arwah suaminya sentiasa dihatinya dan mengakui sukar untuk digantikan dengan orang lain. Katanya, dia tidak menutup pintu hati namun belum masanya lagi
“Memang betul, Abam tetap dan selamanya di hati saya, sukar untuk saya gantikan posisinya dengan orang lain sebagai suami buat masa ini. Saya cakap macam ini tidak bermaksud saya tutup terus pintu hati, saya terbuka cuma perkara itu akan tiba apabila sampai masanya.
“Jika suatu hari nanti jodoh saya tiba, tiada apa yang saya harapkan selain lelaki tersebut dapat terima status saya sebagai ibu tunggal selain mampu menyayangi Hamzah seperti darah daging sendiri,” katanya.
Untuk rekod, Hidayah dan arwah Abam mendirikan rumah tangga pada 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki kini berusia lima tahun.