Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak mengambil tindakan keras sehingga menyekat perjalanan akademik sekumpulan pelajar yang membakar karikaturnya dalam demonstrasi anti rasuah, baru-baru ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, arahan itu adalah selaras dengan pendekatan Madani yang mengutamakan nilai ihsan.
Beliau berkata, sebagai bekas aktivis mahasiswa dan seorang reformis, Perdana Menteri sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Katanya, Anwar turut menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
“Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu; beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi.
“Selaras dengan pendekatan Madani yang mengutamakan nilai ihsan, Perdana Menteri turut mengarahkan KPT dan UMS agar pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya; masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri.

Sementara itu, Tunku Nashrul menegaskan insiden pembakaran karikatur Perdana Menteri di Kota Kinabalu itu mengingatkan tentang betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata, jelasnya.
“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur.
“Demi generasi akan datang, Kerajaan Madani akan terus menapak di landasan reformasi, memastikan setiap usaha memerangi rasuah diterjemah ke arah kesejahteraan dan kemakmuran buat seluruh rakyat Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menghargai dan memuji jiwa besar Anwar yang tidak mahu pelajar berkenaan dikenakan tindakan keras sehingga ditamatkan pengajian walaupun menjadi sasaran dalam insiden ini.
“Pendekatan penuh ihsan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada akses kepada pendidikan hanya kerana kekhilafan yang dilakukan supaya mereka dapat melakar kecemerlangan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Namun begitu, MPPK menegaskan tindakan pelajar berkenaan jelas bertentangan dengan nilai dan adab seorang mahasiswa.
“Tindakan tersebut bersifat provokatif, berlebihan dan mencemar citra institusi pengajian tinggi sebagai medan ilmu dan intelektualisme.
“MPPK mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini.
“Ia bukan sahaja mencerminkan ketandusan pemikiran rasional, malah berisiko mengganggu ketenteraman awam serta menghakis nilai kesarjanaan yang sewajarnya dijunjung tinggi oleh warga universiti,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebagai mahasiswa mereka seharusnya mengangkat prinsip kesantunan, penghormatan dan kemampuan untuk berbeza pandangan secara beradab, bukan melalui tindakan ekstrem, biadab atau menghina mana-mana pihak.