Peningkatan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada 43 peratus ke 55 peratus menerusi kaji selidik terbaharu Merdeka Center merupakan satu pencapaian amat signifikan dalam landskap politik semasa.
Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, pencapaian itu sangat bermakna dan mencerminkan keyakinan rakyat yang semakin pulih terhadap Anwar dan Kerajaan Madani walaupun dihujani kritikan pembangkang.
“Perestasi itu agak signifikan, naik daripada 43 peratus kepada 53 peratus dalam keadaan sekarang.
“Ramai yang negatif terhadap Datuk Seri Anwar sehingga ada yang protes desak beliau turun. Tetapi hakikatnya, graf sokongan kepada beliau meningkat pula,” katanya kepada RotiKaya.

Mengulas lanjut, Dr. Azmi yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR) berkata, terdapat banyak faktor berlakunya peningkatan sokongan ketara itu seperti polisi yang diterima baik oleh rakyat.
Namun beliau berpendapat kemampuan Anwar mendepani karenah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam isu tarif timbal balik turut menjadi penyumbang besar.
Ia sebagaimana Lawrence Wong, Anthony Albanese dan Mark Carney yang menang besar dalam pilihanraya, masing-masing di Singapura, Australia dan Kanada, katanya.
Jelas beliau, ada nama-nama berkenaan diramal kalah teruk kerana menerima kritikan hebat di negara masing-masing sebelum pilihan raya.
“Memang betul banyak perkara yang dikatakan menyumbang kepada peningkatan graf sokongan kepada Datuk Seri Anwar tetapi saya gunakan analogi (dengan pemimpin dunia lain).
“Beberapa minggu lepas kenapa Lawrence Wong menang besar di Singapura dan pada masa sama Anthony Albanese juga menang besar di Australia.
“Sebulan sebelum itu, Mark Carney juga menang besar di Kanada sedangkan dia dikatakan akan kalah.
“Dan jangan lupa dengan Pope Leo yang juga pengkritik Trump yang telah dipilih walaupun nama beliau tidak disebut sebagai top 5 pemilihan calon pope.
“Bagi saya satu faktor sahaja iaitu bagaimana keempat-empat pemimpin ini menghadapi karenah Trump dengan cara tersendiri,” katanya.
Dr. Azmi bekata, begitu juga dengan Anwar yang berjaya membuktikan beliau boleh berhujah di peringkat antarabangsa melalui pelbagai platform termasuk Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Katanya, Anwar telah membuktikan beliau mampu berdepan karenah trump sebagaimana Wong, Albanese, Carney dan Pope Leo.
Katanya, yang paling utama bagi rakyat Malaysia ialah kestabilan dan mereka mahukan pemimpin berpengalaman sebagaimana dipamerkan Anwar yang tidak dimiliki pembangkang.
“Malah kalau kita lihat pihak pembangkang, tiada seorang pun yang dikatakan menonjol dan boleh menjadi alternatif untuk menghadapi karenah Trump dari segi geopolitik dan ekonomi.
“Begitu juga dengan perang Iran-Israel, bagaimana Ayatollah Ali Khamenei dapat mempamerkan cara beliau berdepan dengan Trump. Itu adalah penting
“Bagi saya kenapa melonjaknya populariti Datuk Seri Anwar ialah kerana beliau mempamerkan kemampuan menghadapi Trump dengan cara tersendiri di mana pemimpin pembangkang kita tidak dapat melakukannya,” tegasnya.

Semalam, Merdeka Center mengumumkan hasil kajiannya yang mendapati majoriti pengundi Malaysia memberikan penarafan positif sebanyak 55 peratus kepada Anwar pada Mei tahun ini berbanding 43 peratus pada Jun 2024.
Organisasi bebas itu yang memfokus kepada penyelidikan pendapat umum dan analisis sosioekonomi, memaklumkan tinjauan ke atas 1,208 pengundi berdaftar menunjukkan rakyat Malaysia mula berasakan bahawa negara kini semakin stabil dengan ketidakstabilan politik kian mereda dan Anwar memimpin kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Reformasi institusi seperti Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dihidupkan semula juga memberi isyarat kembalinya tadbir urus yang berprinsip,” katanya.
Menurut Merdeka Center, kekecewaan rakyat terhadap kos sara hidup juga semakin berkurangan susulan peningkatan gaji minimum oleh kerajaan kepada RM1,700 berserta bantuan tunai semasa perayaan kepada penjawat awam serta subsidi minyak yang berterusan ketika inflasi berada di tahap terendah dalam tempoh tiga tahun iaitu 1.4 peratus pada Mac 2025 dan pertumbuhan ekonomi mencecah 4.4 peratus pada suku pertama.