Penganjur konsert Kharisma Music menuntut baki sebanyak RM77,000 daripada Aisha Retno yang dipinjam penyanyi itu ketika bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) pada Mac lalu.
Memetik HibGlam, Yuka Kharisma berkata konsert yang dibatalkan pada 16 November lalu sepatutnya menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada penyanyi berkenaan.
BACA: Artis Senior Iri Hati Dengan Aisha Retno, Ibu Bapa ‘Pagar’ Elak Sihir
Menurut Yuka, konsert tersebut dibatalkan berikutan penjualan tiket yang tidak memberangsangkan itu hanya 98 tiket ditempah.
“Kami dengan rela hati meminjamkan RM83,000 untuk persembahannya di AJL dan setakat ini dia baru jelaskan RM6,000 pada Mei lalu.
“Kami tidak pernah menjanjikan tajaan malah saya mempunyai bukti melalui mesej langsung dan mesej suara. Kami hanya menaja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan bukan wang dana,” katanya.
Sementara itu, Yuka turut memaklumkan pinjaman wang tersebut dibuat atas hubungan baik dengan penyanyi itu sebelum ini untuk membantu membuat persiapan semasa AJL pada Mac lalu.
“Pihak Aisha Retno (ARE) menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL tersebut dan telah memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahannya.
“Disebabkan hubungan baik antara pihak ARE dan Yuka Kharisma, maka Kharisma Music telah bersetuju untuk membantu pihak ARE dalam mencari dana diperlukan.
“Akibat kesuntukan masa dalam mengumpul dana, Kharisma Music telah bersetuju untuk memberikan pinjaman pendahuluan (advance) bagi memastikan segala persiapan dan persembahan Aisha di pentas akhir AJL lancar,” katanya.
Terdahulu, Aisha meluahkan rasa kecewa selepas konsert sulungnya iaitu Konsert Malam Sutera Aisha Retno yang dijadualkan berlangsung pada 16 November lalu dibatalkan.
SUMBER: HibGlam